MUSIM peralihan Monsun Timur Laut (MTL) kembali lagi dan sepertimana dijangka, kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia sudah mula menghadapi banjir gelombang awal.
Setiap kali paras air menaik, rakyat yang menjadi kelompok paling terkesan apabila rumah-rumah ditenggelami, jalan terputus, malah ada juga berkemungkinan terperangkap tanpa bekalan elektrik.
Demikian apa yang terjadi di beberapa daerah di Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor ketika ini.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, beberapa persoalan penting timbul iaitu apa yang perlu dibuat apabila banjir melanda supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin?
Semestinya yang pertama adalah persediaan awal memandangkan musim peralihan berlaku setiap tahun.
Antaranya, orang ramai disaran membuat persiapan rapi dari segi penyimpanan dokumen penting misalnya kad pengenalan, geran rumah, sijil-sijil dan lain-lain di tempat tinggi atau isi di dalam fail kalis air.
Selain itu, menyediakan beg kecemasan yang mengandungi air minuman, makanan kering, ubat-ubatan, ‘power bank’, lampu suluh dan pakaian asas sekurang-kurangnya untuk tiga hari.
Langkah mudah sebegini sering diabaikan, tetapi ternyata ia mampu menyelamatkan banyak nyawa ketika berdepan situasi kecemasan.
Sewaktu banjir melanda, keselamatan adalah perkara utama yang wajib diberi perhatian.
Perkara kedua yang perlu dibuat adalah menutup semua suis elektrik sebelum meninggalkan rumah jika diarahkan menginap di pusat perlindungan sementara (PPS).
Ketiga, elakkan meredah air banjir walaupun kelihatan cetek paras buku lali kerana arus deras setinggi lutut pun mampu menghanyutkan kenderaan dan manusia.
Bukan itu sahaja, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak bermain atau merendam kaki di dalam air banjir kerana dibimbangi mengandungi bahan kimia, najis dan serpihan tajam yang boleh menyebabkan jangkitan serius.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ketika dihubungi Sinar Harian menjangkakan bahawa banjir gelombang pertama tidak seburuk kejadian 2021 berdasarkan maklumat terkini model-model cuaca, walaupun hujan lebat masih diramal boleh berlaku sepanjang MTL kali ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, bermula Selasa, luruan monsun dari tanah besar China dijangka melanda negara yang boleh membawa hujan lebat berterusan.
Namun, katanya, luruan kali ini tidak datang sekali dengan angin timuran dari Lautan Pasifik.
Jelas beliau, jika kedua-dua fenomena itu memasuki rantau negara serentak, ia boleh membawa hujan yang lebat dan kemungkinan boleh menjadi lebih teruk.
Tuntasnya, banjir bukan sekadar bencana alam, tetapi ujian kesediaan dan disiplin masyarakat.
Dengan mengambil langkah betul dan tindakan segera, risiko kehilangan harta dan nyawa dapat dikurangkan.
Dalam keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, setiap keluarga perlu berpegang kepada satu prinsip asas iaitu persediaan awal mampu menyelamatkan nyawa.