Mula-mula tanya harga kemudian larikan cincin, loket emas RM2,000

Iklan
Lelaki tersebut bertindak melarikan diri membawa cincin emas dan loket emas berkenaan keluar dari kedai.

MELAKA - Polis memberkas seorang lelaki yang bertindak melarikan barang kemas berupa cincin dan loket dianggarkan bernilai RM2,000 dari sebuah kedai emas di Taman Rambai Jaya, Tanjung Minyak di sini dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan mengenai kejadian diterima daripada pekerja kedai emas berkenaan berusia 21 tahun yang bertugas pada waktu kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku jam 5.04 petang apabila seorang lelaki memakai baju biru putih datang ke premis untuk melihat barang kemas.

“Pada mulanya suspek berpura-pura ingin membeli rantai leher sebelum bersetuju untuk membeli cincin emas seberat 1.17 gram bernilai RM680 dan loket emas 2.3 gram bernilai RM1,300.

Iklan

“Kemudian, lelaki tersebut memberitahu akan datang semula ke kedai dan pada jam 6.50 petang, apabila lelaki tersebut datang kembali ke kedai, bersetuju untuk membeli serta minta melihat kembali cincin dan loket emas tersebut.

“Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut bertindak melarikan diri membawa cincin emas dan loket emas berkenaan keluar dari kedai,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Christopher berkata, hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada serbuan oleh sepasukan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Melaka diketuai Inspektor Muhammad Arsyad dalam operasi Op Pintu Khas.

“Pada Ahad sekitar jam 6.30 petang, polis berjaya menahan suspek berusia 34 tahun di sebuah hotel bajet di Melaka Raya 14.

“Turut dirampas wang tunai RM1,050 dipercayai sebahagian hasil jualan barang kemas,” jelas beliau.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mendakwa telah menjual cincin serta loket berkenaan kepada seorang wanita yang merupakan ‘ulat emas’ yang dikenalinya melalui Facebook.

“Suspek memaklumkan hasil jualan digunakan untuk perbelanjaan harian serta pembayaran sewaan bilik hotel.

“Suspek direman empat hari bermula 24 hingga 27 November 2025 untuk membantu siasatan,” katanya.