KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket ‘Badul’ yang aktif membekalkan pekerja warga asing melalui penipuan kuota terbongkar apabila sebuah premis kedai di Jalan Desa Pandan, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati syarikat terbabit menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan syarikat sendiri dengan menjual, memindahkan dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.
“Setiap urusan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi serta pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zakaria berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, syarikat terbabit turut dipercayai mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun.
“Modus operandi sindiket ini turut merangkumi penyediaan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai helah sekiranya mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan.
“Sindiket ini juga menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap oleh pihak berkuasa dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Keadaan ini mencerminkan satu bentuk penyalahgunaan sistem imigresen negara secara terancang yang bukan sahaja menindas pekerja asing, malah turut mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata hasil penggeledahan menemukan sebanyak 48 pasport warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India.
“Kita turut menyita sebanyak 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 keping kad CIDB, wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses permohonan pekerja asing secara tidak sah.
“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.