Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam rumah berkunci

Iklan
Mangsa berusia 89 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi.

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah unit pangsapuri di Lebuh Nipah 3 selepas bomba membantu polis membuka pintu rumah yang terkunci pada petang Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian jam 3.21 petang itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat terdapat mangsa di dalam rumah berkenaan. 

Iklan
Iklan

Menurutnya, jentera bomba tiba tujuh minit kemudian di lokasi kejadian.

"Anggota bertugas menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu yang berkunci sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Iklan

“Mangsa yang berusia 89 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu yang berkunci.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 3.58 petang.

Tambahnya, operasi melibatkan tujuh anggota bomba termasuk seorang penyelia, polis dan KKM.

"Mangsa tinggal di rumah berkenaan seorang diri. Mangsa mengidap diabetes dan keadaan kakinya sudah teruk. 

"Jiran memanggilnya dari luar rumah tetapi tidak mangsa menyahut dan apabila lihat dari tingkap rumah, ternampak mangsa sudah terbaring lalu jiran menghubungi pihak polis," katanya. 

Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta musnah hampir keseluruhan di bahagian enjin selepas terbakar dalam insiden di Lintang Mayang Pasir 5, petang Isnin.

John Sagun berkata, kejadian yang dilaporkan pada jam 3.30 petang itu tidak melibatkan mangsa.

"Jentera tiba di lokasi lima minit selepas panggilan diterima.

“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Honda Stream dengan anggaran kemusnahan 80 peratus di bahagian enjin,” katanya.

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kenderaan dalam kejadian di Lintang Mayang Pasir 5, pada petang Isnin.

Jelasnya lagi, PKO kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemadaman dan kawalan sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Kes seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.01 petang.

"Seramai lapan anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi itu menggunakan sebuah jentera FRT P1-10 BBU," ujarnya.