CHANGLUN – Lebih 30 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dipindahkan ke asrama sekolah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang dijadualkan bermula Selasa, selepas rumah mereka ditenggelami air.
Rokiyah Sofi, 17, dari Kampung Lembah Keriang berkata, dia hanya menyedari kejadian banjir sekitar jam 2 pagi Isnin dan tidak menyangka paras air meningkat dengan begitu pantas.
“Air mula masuk rumah sekitar jam 2 pagi dan kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk, saya segera memaklumkan kepada cikgu sekitar jam 5 pagi,” katanya ketika ditemui di asrama sekolah pada Isnin.
Annur Asyura Zulfah Mohamad Zahir, 17, dari Kampung Kubang Kayu pula berkata, dia telah bersiap lebih awal dengan mengemas pakaian dan alat tulis sebaik menyedari paras air meningkat mendadak sejak jam 5 pagi.
“Baju dan buku saya dah kemas awal-awal dan letak di rumah jiran. Lepas itu, tolong abah alihkan mesin basuh, dan selepas Subuh baru saya maklumkan kepada cikgu.
“Penat juga… tapi saya reda dan bersyukur dapat menumpang di asrama kerana lebih selesa berbanding pusat pemindahan sementara (PPS) yang agak sesak dan tidak selesa untuk belajar,” katanya.
Setakat ini, dia dimaklumkan paras air di rumahnya mencecah lebih dua meter dan hanya bahagian tingkat atas sahaja yang tidak ditenggelami air.
Sementara itu, bapa kepada Annur Asyura, Mohamad Zahir Hamid, 51, berharap agar anak keduanya itu dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang meskipun diuji dengan musibah banjir.
“Kami harap dia dapat fokus dan berjaya dalam SPM walaupun perlu tinggal di asrama. Kami pula ditempatkan di PPS Kampung Tradisi kerana PPS di SMK Changlun sudah penuh,” katanya.
Seorang lagi calon SPM, Nur Iman Assyahid Abd Halim, 17, dari Kampung Belukar, Mukim Temin berkata, dia hadir ke sekolah seperti biasa pagi Isnin, namun tidak dibenarkan pulang selepas dimaklumkan rumahnya dinaiki air.
Menurutnya, ujian yang dihadapi itu dianggap sebagai pembakar semangat untuk menduduki peperiksaan penting tersebut.
“Saya diuji dengan bencana ini, tapi saya yakin ALLAH akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik, termasuk keputusan yang cemerlang nanti,” katanya.
Nur Iman Assyahid memaklumkan, dia dijangka menetap di asrama bermula Isnin dalam keadaan sehelai sepinggang kerana kedua-dua ibu bapanya turut dipindahkan ke PPS.
“Tadi ibu dan ayah beritahu sempat selamatkan apa yang perlu, dan mereka juga sudah berpindah ke PPS. Sejak kecil, baru dua kali rumah kami dilanda banjir dan kali ini paling teruk,” katanya.
Pihak sekolah dalam kenyataan turut memaklumkan bahawa kebajikan semua calon SPM yang terjejas akan dijaga sebaik mungkin dan segala kelengkapan yang diperlukan akan disediakan segera demi keselesaan mereka.