KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dijangka berterusan hingga 26 November (Rabu) melibatkan Perlis, beberapa daerah di Kedah, Kelantan dan Besut di Terengganu.
Menurut kenyataan MET Malaysia pada Isnin, kawasan di Kedah yang terlibat ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik, manakala di Kelantan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Sementara itu, amaran Hujan Berterusan (Buruk) turut dikeluarkan hingga tarikh sama bagi beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Bagi tahap Waspada, beberapa daerah di Perak, Pahang dan Selangor dijangka mengalami hujan berterusan hingga 24 dan 26 November.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi MET Malaysia.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian hotline 1-300-22-1638. - Bernama