KUANTAN – Seorang jurutera sebuah kilang di Gebeng ditahan bersama hampir satu kilogram (kg) ganja dan tiga pucuk pistol tiruan dalam serbuan ke atas sebuah bengkel besi di Jalan Tengah, Kampung Sungai Karang Darat di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan ketika berada di bengkel yang diusahakan di sebelah rumahnya.
Menurutnya, ganja dianggarkan seberat 990.32 gram ditemui disimpan dalam sebuah kotak.
“Turut ditemui pistol tiruan dan peluru ‘ball bearing’ dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM2,700.
“Suspek yang bekerja sebagai jurutera kilang mengaku menjalankan perniagaan bengkel besi itu sebagai pekerjaan sambilan,” katanya.
Ashari berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku membeli ganja tersebut secara dalam talian yang dikirim melalui pos terus ke alamatnya.
“Suspek juga membeli pistol tiruan dalam talian dan telah mengubah suainya menggunakan peluru ‘ball bearing’ untuk kegunaan sendiri.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” ujarnya.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.