Padah jual petrol dalam botol

Iklan
Muhamad Hanif (kiri) mengetuai Operasi Bersepadu yang dijalankan di 12 premis sekitar Pulau Indah, Klang pada Rabu. Foto: KPDN SELANGOR

KLANG - Penjualan barangan kawalan minyak petrol menggunakan botol tanpa lesen sah antara kesalahan dikesan hasil pemeriksaan bersepadu deretan premis di Pulau Indah di sini pada Rabu.

Operasi Bersepadu bermula jam 11 pagi itu digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) susulan aduan awam.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, sebanyak 12 premis perniagaan telah diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang, khususnya berkaitan pengurusan perniagaan, pendaftaran serta urus niaga barang kawalan.

Menurutnya, sebuah premis didapati menjalankan aktiviti penjualan barang kawalan termasuk petrol, minyak masak dan tepung gandum disyaki tanpa lesen atau dokumen kebenaran yang sah.

Iklan

"Aktiviti penjualan petrol tanpa kebenaran yang sah merupakan satu kesalahan serius dan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna serta orang awam.

"Selain petrol, pemeriksaan turut menemukan pelbagai barang kawalan lain yang disita, termasuk minyak masak dan tepung gandum dalam pelbagai jenama serta kuantiti, selain beberapa bekas penyimpanan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

KPDN Selangor menyita botoln berisi minyak petrol menerusi Operasi Bersepadu di Pulau Indah, Klang pada Rabu. Foto: KPDN SELANGOR

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lain yang dijalankan, KPDN Selangor mengeluarkan sebanyak 11 kompaun bernilai RM2,700 melibatkan lima kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta enam kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Tambahnya, selain itu, satu tindakan kes turut diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung kesalahan urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Kata beliau, SSM turut mengeluarkan empat kompaun ke atas tiga premis perniagaan dengan nilai keseluruhan kompaun RM2,000 atas ketidakpatuhan yang dikesan di bawah peruntukan berkaitan.

"Secara keseluruhannya, operasi bersepadu ini menghasilkan 15 kompaun berjumlah RM4,700 serta satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.

Tegasnya, operasi bersama ini jelas membuktikan komitmen berterusan serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik.

"Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang menyeluruh, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta memelihara kesejahteraan awam di negara ini.

"KPDN ingin memperingatkan kepada semua peniaga dan masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa. Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati ingkar," katanya.