SHAH ALAM – Rakyat Sabah perlu lebih tegas mempertahankan hak 40 peratus hasil negeri serta autonomi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan, usaha mengembalikan hak tersebut tidak akan tercapai sekiranya rakyat terus bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya gagal menunaikan janji serta tidak konsisten dalam pendirian politik.
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) komited menjadi rakan strategik Sabah bagi memastikan hasrat 'menjadi tuan di negeri sendiri' berjaya dicapai.
Menurutnya, tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan PH sebelum pilihan raya negeri menunjukkan bahawa gabungan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan rakan yang boleh diharapkan.
“Jika Kerajaan Madani benar-benar menghormati Sabah, mereka sudah tentu mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai 40 peratus hasil tanpa mencetuskan isu melalui helah teknikal,” ujarnya.
Dominic berkata, PN hanya bertanding 42 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menunjukkan bahawa gabungan itu bukan semata-mata mengejar kuasa, sebaliknya ingin menjadi sekutu yang dipercayai rakyat.
Ujarnya, walaupun PN merupakan pembangkang di peringkat Persekutuan, gabungan itu mempunyai empat kerajaan negeri dan Ahli Parlimen yang komited mempertahankan hak Sabah.
Mengulas mengenai manifesto PN bertema Memajukan Sabah, beliau berkata, dokumen itu dirangka untuk memastikan rakyat Sabah menikmati manfaat ekonomi secara menyeluruh, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih seperti termaktub dalam MA63.
Beliau turut meminta rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan dakwaan 'kempen kritikal' oleh PH yang disifatkannya sebagai taktik meraih simpati bagi mengajak pengundi perantau pulang.
“Rakyat sudah muak dengan drama ‘serigala datang’ berulang kali,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kerana didakwa menyamakan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Tambahnya, tindakan itu mengelirukan serta memperlekeh hak autonomi yang dimiliki rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah harus menggunakan kuasa undi untuk menyatakan pendirian dengan jelas bahawa hak mereka tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.