Jamawi nafi lompat, kali ini permintaan PM sendiri jadi calon PH DUN Melalap

Iklan
Jamawi ketika berkempen di Kampung Loboh, Tenom pada Ahad.

TENOM - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menafikan dakwaan bahawa beliau ‘melompat’ sekali lagi apabila bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini.

Jamawi berkata, langkah berkenaan bukan keputusan peribadi seperti digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu beliau mewakili PH di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ini antara isu yang dimomokkan oleh pihak pembangkang tetapi kebanyakan rakyat tahu kali ini saya bukan melompat. Kali ini adalah permintaan daripada Perdana Menteri kepada Ketua Menteri supaya saya bertanding atas tiket PH.

"Walaupun saya ketika itu adalah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di kawasan Melalap tetapi Ketua Menteri kita bersetuju atas kehendak daripada Perdana Menteri. Supaya akan ada wakil yang dapat membawa isu-isu pembangunan, ekonomi dan sebagainya ke Putrajaya kepada pucuk pimpinan di peringkat Persekutuan.

Iklan

"Jadi inilah yang saya telah jelaskan kepada masyarakat di kawasan Melalap dan mereka memahami bahawa ada kebaikan untuk kita dapat paip kecil daripada kerajaan negeri dan juga paip besar daripada Persekutuan supaya kita akan dapat membela lebih ramai masyarakat di luar bandar," jelasnya kepada Sinar Harian ketika berkempen di Kampung Loboh, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran dalam saingan lapan penjuru kali ini, meskipun beliau satu-satunya calon yang pernah menjadi wakil rakyat, namun berdepan sentimen berkaitan tindakannya menukar parti pada episod politik sebelum ini.

Iklan

Susulan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memilihnya sebagai calon di kawasan tersebut, selain melihat peluang kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membawa pembangunan ke pedalaman Sabah.

"Saya menerima maklum balas yang positif daripada rakyat di kawasan Melalap apabila kali pertama seorang Perdana Menteri sampai ke Pekan Melalap. Jadi apabila beliau menyatakan bahawa Melalap ini dekat di hati dia dan Perdana Menteri sempat berbisik kepada saya, Jamawi menang, awak bawa harapan rakyat kepada saya.

"Yang ini satu jaminan untuk kita membela dan juga membawa isu-isu rakyat yang mungkin untuk kita percepatkan kelulusannya di peringkat Persekutuan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada yang amat hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memilih saya menjadi calon di sini walaupun pada ketika itu saya bukanlah ahli parti beliau. Tetapi melihat bahawa kemungkinan ada kelebihan-kelebihan yang mungkin saya boleh tawarkan kepada pengundi maka saya diambil sebagai calon di kawasan ini," ujarnya.

Sementara itu, Jamawi turut menjelaskan bahawa fokus utama kempennya melibatkan isu pembangunan pelancongan, ekonomi dan pertanian sebagai sumber rezeki penduduk Melalap sejak sekian lama.

"Pelancongan ekonomi dan pertanian merupakan pekerjaan utama penduduk di kawasan ini dan apabila kita dapat mempertingkatkan kesemua sektor ini, secara automatik kita akan dapat meningkatkan sumber pendapatan masyarakat di kampung-kampung.

"Jadi bagi saya, walaupun kita mengejar arus pembangunan dan kemajuan, jangan kita sesekali melupakan keperluan rakyat di kawasan kampung kerana mereka ini mahu mendapatkan jalan raya dan infrastruktur yang baik supaya jalan pertanian masuk ke kebun mereka dapat dilalui dengan selesa.

"Mereka minta supaya sistem pengairan kawasan dapat dilaksanakan secara teratur dan mereka cuma mahu supaya kita menyediakan peluang-peluang untuk mereka bercucuk tanam dan sebagainya.

"Kemudian yang kedua, mereka juga mahu supaya hasil pertanian dapat nilai yang baik. Kita mendapati isu harga getah yang mungkin tidak sama dengan harga getah di Sarawak dan Semenanjung.

"Mereka cuma minta supaya kerajaan bantu untuk mendapat harga getah yang sama dengan rakan-rakan di negeri yang lain," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu pertanian dan hasil yang diperoleh antara menjadi keutamaan yang akan dibawa dalam sidang DUN jika diberi mandat oleh rakyat di Melalap.

"Kita harus membela nasib penduduk-penduduk di luar bandar kerana bagi kita mereka ini mahu mendapat keperluan menyekolahkan anak, mereka bukan mahu bermewah dengan hasil getah yang begitu.

"Mereka cuma mahu menyara kehidupan keluarga dan dapat memberikan pendidikan yang baik untuk anak-anak. Ada anak masuk universiti mereka dapat bantu dan sebagainya. Itu satu nikmat yang tertinggi bagi mereka," katanya.