Ibu 'nyanyuk' terbuang jongkong emas RM276,000 dalam tong sampah

Iklan
Rakaman CCTV menunjukkan pekerja pembersihan mengangkat plastik sampah dipercayai mengandungi jongkong emas di Bangkok, Thailand. - Agensi

BANGKOK - Sebuah keluarga di Bangkok merayu bantuan orang ramai selepas tiga jongkong emas bernilai kira-kira RM276,000 hilang apabila ibu mereka yang menghidap dementia atau nyanyuk membuangnya bersama sampah rumah.

Menurut laporan Daily News Thailand, jongkong emas itu disimpan sebagai sebahagian daripada simpanan keluarga.

Iklan
Iklan

Lelaki berkenaan berkata, pada 3 November lalu, ibunya mengambil emas tersebut untuk melihat-lihat sebelum memasukkannya ke dalam sampul.

Namun wanita itu kemudian terlupa mengenainya.

Iklan

Keesokan paginya, ketika lori sampah tiba, ibu mereka tergesa-gesa mengumpulkan beg sampah dan secara tidak sengaja memasukkan sampul berisi emas ke dalam salah satu beg tersebut.

Keluarga hanya menyedari kehilangan itu pada 5 November lalu ketika wanita berkenaan berniat menjual emas tersebut.

Iklan

Sehari kemudian, dia teringat bahawa emas itu dimasukkan ke dalam sampul yang mungkin sudah dibuang.

Pada 7 November, keluarga itu membuat laporan polis sebelum pergi ke tapak pelupusan. Namun mereka tidak dapat mengenal pasti lokasi yang betul.

Seorang pegawai daerah memaklumkan bahawa beg sampah berkenaan tidak disisih dan kawasan itu melupuskan sampah melalui proses pembakaran setiap hari, sekali gus menyukarkan usaha mengesan emas tersebut.

Keluarga berkenaan kini meminta akses rakaman kamera dalam trak kutipan sampah bagi membantu mengenal pasti lokasi sampul itu berakhir.

Dalam keadaan terdesak, lelaki tersebut menghubungi sebuah kumpulan sukarelawan terkenal untuk membantu menyebarkan maklumat dan merayu bantuan orang ramai.

Menerusi hantaran itu, keluarganya berkata mereka “benar-benar buntu” dan meminta sesiapa yang mungkin menemui sampul berkenaan supaya tampil.

Ganjaran wang tunai disediakan bagi sesiapa yang memulangkannya.

Keluarga itu turut meminta polis mewawancara pekerja kutipan sampah dan meneliti rakaman CCTV sepanjang laluan pelupusan.

Mereka juga berharap jika ada pekerja yang secara tidak sengaja menemui emas tersebut, agar ia dipulangkan dengan janji penghargaan sebagai balasan. - Agensi