KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan (KPM) sedia memindahkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang rumah 'terkepung' banjir menerusi Ops Payung bagi memastikan mereka selamat menduduki peperiksaan itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses itu akan dilakukan menerusi kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap terbaik semasa Ops Payung itu dijalankan.
"Sebahagian besar calon SPM yang terjejas telah ditempatkan di asrama, namun demikian kita juga bersedia untuk memindahkan pelajar menggunakan aset-aset agensi terlibat khususnya mereka yang rumahnya terkepung dan terhalang daripada ke pusat peperiksaan.
"Hari ini saya dengan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Kelantan telah melakukan tinjauan untuk memastikan persiapan SPM berjalan lancar termasuk proses pemindahan pelajar di bawah YIK (Yayasan Islam Kelantan) yang terkesan dengan banjir," katanya semasa sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini pada Ahad.
Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati JPN Kelantan sudah bersedia dan mempunyai pengalaman berdepan dengan situasi tersebut.
Ujarnya, KPM turut memantau ketat perkembangan kesemua calon-calon SPM yang terjejas dengan banjir.
Fadhlina berharap pengalaman yang dimiliki oleh JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah mampu menjadikan perjalanan SPM nanti berjalan lancar.
"Persiapan nampak kemas dan juga kita berdoa khususnya urusan calon SPM dipermudahkan," katanya.