Malaysia perlu lebih teliti keabsahan pemain warisan - Muhammad Nasir

Iklan
Muhammad Nasir

PEMALSUAN dokumen identiti pemain termasuk pemain warisan adalah perkara serius yang tidak wajar dan perlu ditentang terutamanya apabila melibatkan badan antarabangsa seperti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, setiap pasukan harus bijak meneliti dokumen pemain bagi memastikan kesahihannya sebelum melibatkan mereka dalam perlawanan rasmi.

Iklan
Iklan

“Tak kira apa sekalipun. Kalau pemalsuan pengenalan diri ini memang sesuatu yang tidak patut berlaku. Tak kira pendatang haram ke, pendatang halal ke, pemalsuan dokumen, pemalsuan IC memang tak wajar,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf ditemui pemberita pada program Ramah Mesra Pasukan Kelantan The Real Warriors (TRW) bersama badan bukan kerajaan dan Kelab Penyokong Pasukan Bola Sepak Kelantan di Dewan Karangkraf di sini pada Ahad.

Iklan

Muhammad Nasir menekankan bahawa pembangunan pasukan Malaysia tidak seharusnya mengamalkan pendekatan ‘instant’ atau cepat, sebaliknya perlu bermula dari akar umbi.

“Kalau kita tengok pasukan-pasukan tersohor di dunia pun, mereka tidak ambil budak umur 15 atau 18 tahun terus. Mereka ada akar umbi, didikan bermula sejak umur empat tahun melalui akademi bola sepak. Di situ lah lahirnya pemain-pemain yang akan mewarisi bola sepak itu,” katanya.

Iklan

Beliau turut merujuk pengalaman beliau ketika lawatan jawatankuasa KAFA ke Jepun, yang kini berada pada tahap ranking dunia lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Dahulu pada 1960-an, pasukan bola sepak Jepun dan kita setara. Kita lawan Jepun, Korea, menang kalah sama-sama. Tapi kini Jepun ada ranking. Ini menunjukkan kita mesti ada program pembangunan berstruktur bermula dari bawah, bukannya membentuk pasukan secara ‘mee segera’,” ujarnya.

Isu keabsahan pemain warisan Malaysia menjadi tumpuan selepas FIFA mengarahkan siasatan jenayah terhadap pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan dilakukan di lima negara termasuk Malaysia, Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol.

Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain terbabit berhubung Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).