SHAH ALAM – Selain lima daerah di Kelantan, beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak turut dijangka mengalami hujan sangat lebat berterusan (tahap bahaya) sehingga Selasa, menurut amaran terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam kemas kini dikeluarkan pada 4.15 petang Ahad memaklumkan, kawasan terlibat ialah seluruh Pulau Pinang; Kulim dan Bandar Baharu di Kedah manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.
"Amaran hujan lebat berterusan (tahap buruk) pula membabitkan Perlis; Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling (Kedah) serta Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim (Perak).
“Selain itu, kawasan Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai di Kelantan, selain Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu serta Sabak Bernam, Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Bagi amaran hujan berterusan (tahap waspada), MetMalaysia memaklumkan daerah yang terkesan hingga 24 November (Isnin) ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang, selain beberapa daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.
“Untuk tahap waspada yang berkuat kuasa hingga 26 November (Rabu) pula melibatkan Gua Musang di Kelantan dan Kemaman di Terengganu.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui portal rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, platform media sosial rasmi atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, MetMalaysia pada jam 11 pagi turut melaporkan bahawa kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan dijangka terus mengalami hujan sangat lebat berterusan sehingga Selasa.