TRW ambil pemain import baharu selepas selesai isu gaji, denda - Zahar

Iklan
Muhammad Nasir (berdiri tengah) bersama pihak pengurusan dan pemain TRW di Karangkraf.

PASUKAN Kelantan, The Real Warriors (TRW) berhasrat membawa masuk pemain import berkualiti selepas isu tunggakan gaji dan denda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diselesaikan sepenuhnya.

Penolong Pengurus Pasukan TRW, Zahar Ab Kadir berkata, pasukan sememangnya merancang untuk meningkatkan kualiti skuad dengan kehadiran import baharu, namun keutamaan kini adalah menyelesaikan isu kewangan yang membelenggu pasukan sejak musim lalu.

Iklan
Iklan

“Kita masih mahu mempunyai pemain import yang berkualiti. Bukan bermakna pemain import yang ada sekarang tidak bagus, cuma insya-ALLAH kita akan tingkatkan pasukan dan bawa masuk pemain baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Pasukan TRW bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan di Karangkraf di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan pihak pengurusan serta pemain TRW.

Program Ramah Mesra Pasukan TRW bersama NGO dan Kelab-Kelab Penyokong Pasukan Bola sepak Kelantan berlangsung di Karangkraf pada Ahad.

Iklan

Jendela perpindahan kedua yang dijadualkan dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026 menjadi peluang terbaik untuk TRW membawa masuk pemain import baharu.

Mengulas dakwaan pemain imp

Muhammad Nasir menyampaikan ucapan ketika Program Ramah Mesra Pasukan TRW bersama NGO dan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan di Karangkraf pada Ahad.
ort iaitu Prince Aggreh, yang dikatakan telah melaporkan kepada FIFA berhubung tunggakan gaji, Zahar berkata, beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana ia di luar bidang kuasanya.

“Soalan itu saya tak pandai komen. Apa yang saya tahu, di awal musim dia alami sedikit kecederaan. Kami di pihak kejurulatihan menunggu laporan doktor untuk pastikan dia benar-benar boleh bermain,” katanya.

Aggreh masih bersama pasukan dan menjalani latihan seperti biasa, namun barisan kejurulatihan tidak mahu mengambil risiko menurunkannya kerana bimbang kecederaannya bertambah serius.

Zahar mengesahkan bahawa TRW kini dikenakan denda dan sekatan tertentu oleh badan bola sepak berikutan tunggakan gaji musim lalu.

“Pihak pengurusan sedang cuba menyelesaikan masalah yang ada dengan MFL dan FIFA. Kalau tak selesai, memang kita tak boleh ambil import baharu. Itu fokus utama sekarang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tunggakan tersebut adalah daripada musim lalu, bukan musim semasa, sekali gus menolak dakwaan kononnya pemain belum menerima pembayaran tahun ini.

“Ada pihak salah faham, mereka anggap tunggakan itu gaji tahun ini. Setakat ini, Alhamdulillah, gaji pemain musim ini dibayar ikut jadual. Isu denda adalah kerana tunggakan tahun lepas,” jelasnya.

Zahar menambah, pengurusan tertinggi kelab komited untuk menyelesaikan semua tunggakan secepat mungkin sebelum membuat perancangan membawa masuk pemain import tambahan.

Sementara itu, Datuk Muhammad Nasir menyifatkan sokongan padu penyokong sebagai elemen penting dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan, khususnya ketika pasukan sedang melalui fasa pemulihan.

Muhammad Nasir menyampaikan ucapan ketika Program Ramah Mesra Pasukan TRW bersama NGO dan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan di Karangkraf pada Ahad.

Menurut beliau, penyokong Kelantan antara yang paling setia di Malaysia dan pernah mendapat pengiktirafan bekas ketua jurulatih terkenal, Bojan Hodak.

“Saya pernah tanya Bojan Hodak lokasi paling dia suka semasa jadi jurulatih di Malaysia. Dia jawab Kelantan kerana penyokongnya sangat komited,” ujarnya.

Namun katanya, sokongan itu dilihat merosot sejak empat hingga lima musim lalu susulan prestasi pasukan yang tidak konsisten pada zaman pengurusan terdahulu.

“Minat mereka masih ada, cuma sokongan tidak sekuat dulu kerana prestasi pasukan tidak begitu bagus ketika itu,” katanya.

Muhammad Nasir berkata, elemen penyokong mampu memberi suntikan motivasi kepada pemain selain pemain dan jurulatih yang menjadi tunjang kekuatan sesebuah pasukan.

“Dalam bola sepak, banyak elemen penting. Kalau tiada penyokong, pasukan kuat macam mana pun takkan ada jiwa. Pemain ke-12 inilah yang beri semangat,” ujarnya.

Mengulas cadangan agar Kelab Penyokong Kelantan di Lembah Klang mengadakan program di Karangkraf, beliau menegaskan penyokong sentiasa dialu-alukan menggunakan fasiliti syarikat itu.

“Di Karangkraf, kita sentiasa beri ruang kepada kelab penyokong atau persatuan kalau mereka mahu adakan aktiviti. Dari segi publisiti, kita tak pernah kedekut. Kita akan bantu,” katanya.

Namun beliau menjelaskan bahawa bantuan kewangan tidak dapat diberikan ketika ini memandangkan keadaan perniagaan yang mencabar.

“Dari segi kewangan, kita tak mampu sekarang. Tapi komitmen untuk memberi sokongan, kita akan gerakkan kelab penyokong di Lembah Klang untuk bantu naikkan pasukan,” katanya.

Beliau percaya inisiatif mengumpulkan penyokong di Lembah Klang mampu menjadi platform penting untuk menyuntik kembali kekuatan moral dan membina semula sokongan akar umbi bagi TRW.