Mangsa banjir di 5 negeri terus meningkat, Kelantan paling tinggi

Iklan
Keadaan di kawasan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Sabtu dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat. Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus merekodkan peningkatan kepada 5,053 orang dengan Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 1.40 tengah hari Ahad.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 4,421 mangsa daripada 1,702 keluarga dipindahkan di empat daerah di Kelantan berbanding 1,970 mangsa yang direkodkan pada jam 9.56 pagi.

Iklan
Iklan

Ia membabitkan 2,273 orang di Tumpat, Kota Bharu (1,079), Bachok (975 orang) dan Pasir Puteh (tujuh orang).

Mangsa ditempatkan di 22 PPS melibatkan 11 di Kota Bharu, Tumpat (enam), Bachok (empat) dan Pasir Puteh (sebuah).

Iklan

Mangsa banjir di Terengganu pula bertambah kepada 548 orang daripada 139 keluarga di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan Besut.

Daripada jumlah itu, seramai 342 mangsa berlindung di sebuah PPS di Kuala Nerus manakala 213 mangsa pula ditempatkan di dua PPS di Besut.

Iklan

Di Kedah pula seramai 40 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di daerah Kulim.

Sementara itu, Perlis dan Pulau Pinang masing-masing turut merekodkan pengaktifan dua dan sebuah PPS namun jumlah mangsa yang dipindahkan sedang dikemas kini.

Terdahulu, lima daerah di Kelantan diramal berdepan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya hingga Selasa ini.

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, setakat jam 11 pagi Ahad, daerah terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.