KOTA KINABALU - Kerap bertukar parti sehingga digambarkan sebagai ‘cicak kubin’ meyukarkan calon untuk meraih majoriti, sekali gus mencerminkan persaingan sengit di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Bagi kawasan pedalaman, calon yang bekerja akan mendapat perhatian dan sokongan pengundi namun isu lompat parti menyebabkan segelintir calon berdepan laluan yang lebih sukar untuk menang.
Situasi itu didakwa jelas terlihat di DUN Melalap yang menyaksikan pertembungan lapan penjuru dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Jamawi Jaafar yang dianggap menghadapi laluan sukar dan peluang menang majoriti agak tipis.
Pengundi DUN Melalap, Eshak Musa, 68, berkata, persaingan sengit bukan sahaja kerana pertembungan lapan penjuru tetapi juga kehadiran beberapa ‘nama besar’ yang menjadikan keputusan pilihan raya di kawasan itu agak seimbang.
"Secara peribadi, saya melihat seseorang itu mampu bekerja atau tidak berdasarkan rekod sebelum ini.
"Di sini ada dua situasi iaitu pengundi yang mahu mencuba orang baharu dan calon yang sudah pernah bekerja tetapi kerap menukar parti," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah kedai kopi di Pekan Tenom.
Eshak mendakwa, walaupun Jamawi mempunyai potensi untuk mendapat kepercayaan pengundi, namun kekerapan beliau bertukar parti memberi kesan terhadap laluan kemenangan.
"Saya lihat Jamawi boleh mendapat kepercayaan pengundi, tetapi keadaannya yang sering beralih parti menyebabkan laluan agak sukar dan saya rasa keputusan mungkin 50-50.
"Beliau masih ada penyokongnya, cuma sebahagian pengundi menganggap beliau bukan lagi 'katak' tetapi 'cicak kubin' yang sering bertukar warna kulit.
"Namun bagi saya, yang penting ialah kerja yang telah dibuat dan hubungan beliau dengan pihak berkaitan, yang mungkin memudahkan pelaksanaan kerja selepas ini," tambahnya.
Eshak juga tidak menolak peluang calon muka baharu daripada parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter yang turut mempunyai peluang cerah memandangkan bapanya bekas penyandang kawasan tersebut dan masih mempunyai pengaruh kuat.
"Calon KDM pun ada pengaruh sendiri, begitu juga seorang lagi calon dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang turut mendapat perhatian masyarakat setempat," katanya.
Sementara itu, pengundi DUN Sook, Kenny Lee, 58, menekankan bahawa undi yang akan dipertaruhkan pada 29 November nanti banyak bergantung kepada hasil kerja calon sebelum ini.
"Saya lihat calon dan kerja yang telah dilakukan. Saya harap calon Barisan Nasional, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dapat membawa pengalaman dan pecapaian sebagai Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke DUN Sook. Ini kerana beliau baru peratama kali bertanding di sini," katanya.