JERANTUT - Penduduk Kampung Membatu di sini dikejutkan dengan kemunculan seekor harimau belang yang pertama kali dilihat memasuki kawasan kampung pada pagi Sabtu.
Seorang penduduk Kampung Membatu, Rosdi Rashid, 51, berkata, rakaman video seekor harimau belang memasuki kawasan kampung itu dihantar oleh rakannya yang ternampak haiwan itu ketika melalui laluan antara Kampung Membatu, Kampung Mat Daling dan jalan utama ke Jerantut.
Menurutnya, kemunculan haiwan tersebut mengejutkan penduduk kerana kawasan tersebut tidak pernah menjadi lokasi kehadiran harimau sebelum ini.
"Sebenarnya harimau ini pernah kita jumpa bukan di kawasan kampung tapi ditempatkan lain, kalau berhampiran dengan rumah ini yang pertama.
"Jadi, kami penduduk risau kerana harimau sudah berada di persekitaran kampung dan berada dalam masyarakat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dia yang bekerja kampung memberitahu, harimau itu dilihat bergerak kira-kira 100 meter dari rumah penduduk di laluan yang biasa dilalui orang ramai.
"Kalau dari lokasi sebenar penemuan harimau itu jaraknya lebih kurang 300 hingga 400 meter dari rumah saya.
"Apabila video itu ditunjukkan (dikirimkan) kami semua terkejut kerana haiwan itu muncul sangat dekat dengan kawasan penempatan,” ujarnya.
Rosdi berkata, meskipun ia bukan kali pertama penduduk terserempak haiwan pemangsa itu, namun kelibatnya sudah dikesan di kawasan perkampungan ini sejak lebih seminggu lalu.
Ujarnya, kejadian itu menimbulkan kebimbangan penduduk kerana laluan tersebut digunakan setiap hari oleh keluarga yang tinggal berdekatan.
“Kita penduduk mula lebih berjaga-jaga dan ini juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut," katanya.