'Saya tidak pernah lihat pemain seperti Ronaldo' - Mane

Iklan
Ronaldo

PENYERANG Al Nassr, Sadio Mane memberikan pandangannya terhadap sikap dan mentaliti Cristiano Ronaldo sekali gus menyifatkan bintang Portugal itu sebagai contoh kepada setiap pemain bola sepak di dunia.

Mane, yang menyertai Al Nassr dari Bayer Munich dua musim lalu berkongsi pandangan jujurnya dalam temubual bersama bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand.

Iklan
Iklan

Pemain Senegal itu yang berpindah ke Liga Pro Saudi pada 2023 kini membentuk kerjasama bersama Ronaldo di jentera serangan Al Nassr.

Pengalaman bermain dan berlatih bersama Ronaldo memberi dia perspektif tentang kehebatan pemenang lima kali Ballon d’Or itu.

Iklan

“Cristiano adalah contoh teladan untuk setiap pemain bola sepak di dunia. Mentaliti, semangat untuk menang dan tahap profesionalismenya sangat luar biasa.

"Saya tidak pernah melihat pemain seperti dia sebelum ini,” kata Mane.

Iklan

Sebelum berjumpa secara peribadi, Mane sering menonton aksi Ronaldo di televisyen dan membaca mengenai profesionalisme Ronaldo.

“Apabila saya bertemu dengannya di sini, saya dapati semuanya sama seperti yang saya lihat dan baca,” ujarnya.

Menurut Mane, Ronaldo tetap bersemangat memberi yang terbaik setiap hari walaupun sudah berusia 40 tahun.

“Dia benar-benar atlet lengkap dalam setiap aspek. Kerjanya keras setiap hari, dan keinginannya untuk menang serta memberikan yang terbaik masih sama,” kata Mane.

Sehingga kini, Mane dan Ronaldo telah beraksi bersama dalam 91 perlawanan untuk Al Nassr merangkumi semua pertandingan, dengan 16 gol telah dijaringkan bersama.