MoU pengangkutan rentas sempadan dijangka dimeterai pada permukiman pemimpin Malaysia-Singapura Disember ini - Anthony

Iklan
Anthony (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Maskot Rel Kluang ‘DooDoo’ pada Majlis Pesta Rel Kluang 2025 di Laman Rel Mahkota, Kluang hari ini. Foto Bernama

KLUANG - Satu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengangkutan rentas sempadan termasuk perkhidmatan e-hailing dijangka dimeterai pada Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada awal Disember ini di Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun, perincian MoU dan sebarang keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada pemukiman berkenaan yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Iklan
Iklan

"Berkenaan pengangkutan rentas sempadan memang telah dibincangkan antara kedua-dua Kementerian Pengangkutan (Malaysia dan Singapura) dan memang kita ada persefahaman tetapi biarlah diumumkan pada permukiman itu nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Rel Kluang 2025 di Laman Rel Mahkota, di sini hari ini.

Pada 18 Ogos lepas, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan pada dasarnya bersedia untuk membincangkan pelaksanaan e-hailing rentas sempadan antara Johor dan Singapura.

Iklan

Anthony dipetik berkata, cadangan itu pernah dibangkitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat, namun republik itu pada masa itu belum bersedia membincangkannya.

Pada masa ini terdapat Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) timbal balik sedia ada yang membenarkan hingga 200 teksi berlesen dari setiap negara membawa penumpang antara Singapura dan Johor Bahru.

Iklan

Teksi rentas sempadan ini hanya dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di satu lokasi yang ditetapkan iaitu Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura dan Terminal Jalan Ban San di Singapura bagi teksi Malaysia.

Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura adalah platform tahunan kedua-dua Perdana Menteri untuk membincangkan hubungan dua hala serta memuktamadkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura. - Bernama