Op Sohor tiada kaitan isu persaraan pegawai tertinggi ATM

Iklan
Azam

KUALA LUMPUR – Op Sohor yang melibatkan pembanterasan sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah dan rokok tidak mempunyai sebarang kaitan dengan persaraan dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan perkara itu susulan laporan yang cuba mengaitkan operasi berkenaan dengan keputusan persaraan Panglima ATM, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias.

Iklan
Iklan

"Siasatan Op Sohor tiada kena mengena dengan persaraan mereka berdua.

"SPRM juga tidak mempunyai maklumat berkaitan persaraan mereka," katanya pada Sabtu.

Iklan

Menurut Azam, siasatan Op Sohor masih berjalan dan beberapa pertuduhan sudah dibuat terhadap individu-individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut menafikan dakwaan yang mengaitkan persaraan dua tokoh tertinggi ATM dengan Op Sohor.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang cuba mengaitkan persaraan berkenaan dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah pada Ogos lalu.

Menurut Mohamed Khaled, kedua-dua pegawai kanan ATM itu akan bersara mengikut umur persaraan wajib seperti biasa tahun hadapan.

Mohd Nizam dijadual mula bercuti pada 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali bakal bersara pada Disember 2026.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan lima pegawai perisik tentera sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai kanan ATM.

Turut direman, dua wartawan dan seorang wanita warga asing, menjadikan keseluruhan 10 individu ditahan melalui pelaksanaan Op Sohor.