IPOH – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak mempertahankan tindakan Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berkenaan isu menghina Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sedang menerima rawatan seperti didakwa Pemuda Pas Selangor.
Setiausaha Publisiti DAPSY Perak, Koh Ling Xian berkata, tuduhan yang tersebut merupakan fitnah berniat jahat serta cubaan memutar belit fakta bagi mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, dakwaan kononnya kenyataan Kah Leong dibuat ketika Hashim dirawat di hospital adalah tidak benar malah bertentangan dengan garis masa sebenar.
"Kenyataan Ketua DAPSY Kebangsaan dikeluarkan pada 15 November manakala hebahan Pemuda Pas mengenai keadaan Mursyidul Am hanya dibuat empat hari kemudian iaitu pada 19 November.
“Menuduh seolah-olah kenyataan itu dikeluarkan ‘ketika Mursyidul Am sedang dirawat’ jelas merupakan satu putar belit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ling Xian menegaskan, jika Pemuda Pas Selangor benar-benar menjunjung Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mereka sepatutnya berpegang kepada fakta dan kronologi tepat bukan menunggang emosi atau menyebarkan naratif palsu.
Katanya, tindakan mengabaikan fakta sambil terus menyerang DAP menunjukkan percanggahan antara slogan BPMS dengan amalan sebenar mereka.
Beliau turut mendakwa isu fitnah bukan perkara baharu dalam Pas dengan merujuk beberapa kes sebelum ini melibatkan pemimpin parti itu.
Mengulas isu satira politik, Ling Xian berkata, sindiran yang ditujukan kepada pemimpin politik adalah perkara biasa dalam wacana politik berbeza dengan kenyataan yang menghina rakyat secara langsung.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pas menghentikan tabiat mengalih isu serta menjadikan DAP sebagai kambing hitam dalam perdebatan politik.
“Kenyataan sinis berhubung roti Gardenia jelas penghinaan terus terhadap rakyat. Jika mengejek rakyat dianggap tidak mengapa tetapi satira terhadap pemimpin politik pula dilabel tidak beradab, itu jelas pilih kasih.
“Fokuslah kepada tadbir urus, selesaikan kemelut dalaman serta hubungan dengan Bersatu, dan buktikan keupayaan melalui prestasi, bukan retorik,” katanya.
Katanya, DAPSY Perak turut menyatakan solidariti penuh bersama Kah Leong dan mengecam tindakan Pemuda Pas yang didakwa menabur fitnah tanpa asas kukuh.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan biadab Kah Leong yang didakwa menghina Mursyidul Am Pas melalui poster tidak berakhlak ketika sedang menerima rawatan di hospital.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, perbuatan itu bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan kewujudan budaya politik tidak bertamadun dalam kalangan pemimpin muda.
Susulan itu, Pemuda Pas Selangor bersama Siswa Pas hadir ke Pejabat DAP menyerahkan memorandum bantahan sebagai mesej jelas bahawa politik Malaysia mesti dibina atas asas adab, hujah dan tanggungjawab serta bukan provokasi murahan.