KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui pihaknya menerima pelbagai serangan yang ditujukan kepada UMNO dan pemimpin utama sepanjang bertarung dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah lemah menghadapi sebarang serangan, sama ada melalui fitnah atau fizikal.
"Ya, ini memang berlaku, tetapi kita tidak akan pernah lemah semangat dengan apa sahaja serangan, fitnah, sama ada secara fizikal ataupun secara spiritual.
"Kita yakin kekuatan dokongan itu memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin dan calon-calon UMNO Sabah untuk memenangi kursi-kursi yang akan ditandingi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) di bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya susulan serangan yang dilakukan pihak tertentu termasuk Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika sedang berhadapan dengan PRN kali ini.
Diminta mengulas bagaimana perjalanan kempen dan seterusnya keyakinan untuk BN mengambil semula Sabah, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tentu pihaknya ingin memenangi kesemua kerusi yang telah diletakkan calon.
"Kalau boleh, kita nak menang semua. Tetapi realitinya, kita perlu bekerja keras kerana pihak seteru politik kita juga mempunyai senjata-senjata yang ampuh untuk menyerang kita. Kita yakin pada kali ini gelombangnya akan ke arah biru, dan kita akan birukan semula negeri Sabah.
"Kita mempunyai sejarah yang panjang di mana negeri Sabah di bawah BN satu ketika dahulu adalah negeri yang sangat maju. Saya fikir jika BN diberikan mandat semula, Insya-ALLAH kita akan bersama dengan parti-parti dan gabungan lain bagi membangunkan semula negeri Sabah ini," tegasnya.
Sementara itu, beliau yakin dengan kesepakatan yang dimeterai bersama Pakatan Harapan (PH) akan membawa kemenangan bagi kerusi yang ditandingi.
"Kita mempunyai kesepakatan dan kerjasama di semua kerusi yang ditandingi oleh BN dan juga PH," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai calon Ketua Menteri yang dicadangkan sekiranya diberikan mandat nanti, beliau menegaskan bahawa sudah tentu hierarki dalam organisasi parti akan dihormati.
"Kita telah membuat keputusan bahawa apabila memenangi banyak kerusi, kita akan mengadakan perundingan bagi menentukan calon Ketua Menteri dan tentunya, kita menyakini bahawa hierarki dalam organisasi parti harus diberikan keutamaan," ujarnya.