KUALA LUMPUR – “Kami warga tempatan, bukan orang luar atau warga asing seperti didakwa. Kami cari rezeki halal dan bukan melakukan jenayah.”
Itu luahan beberapa individu selepas dikenakan kompaun dalam operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan terhadap jurugambar jalanan di kawasan KLCC dan Pintasan Saloma pada Jumaat.
Mereka mendakwa tindakan menawarkan khidmat mengambil gambar pelancong hanyalah usaha mencari rezeki di tengah tekanan hidup di kota raya, bukannya kegiatan menipu atau memaksa seperti didakwa sesetengah pihak.
Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Marjun, 30, berkata, dia datang dari Sabah ke Semenanjung sejak 2018 demi mencari pendapatan halal.
“Saya tak sangka dikenakan kompaun, saya ingat apa yang saya lakukan ini tidak menyalahi undang-undang.
“Saya tak tahu pun ia satu kesalahan. Ini kali pertama saya dikenakan kompaun, saya cuma nak cari rezeki yang halal,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, caj yang dikenakan hanyalah RM5 untuk warga tempatan dan RM10 untuk warga asing, dan semuanya dijelaskan terlebih dahulu kepada pelanggan.
“Kami tak pernah paksa sesiapa. Orang yang setuju, kami ambil gambar. Tuduhan kata kami tekan pelancong itu tak betul.
“Harga kami akan jelaskan kepada pelanggan terlebih dahulu, kemudian terserah kepada mereka sama ada mahu atau tidak mendapatkan khidmat kami,” katanya.
Bagi Fazli, 18, khidmat fotografi yang ditawarkan adalah cara untuk mengumpul wang bagi menyambung pelajaran.
“Saya tinggal di Ampang. Saya buat kerja ini sebab nak bantu pelancong dapatkan ‘angle’ gambar yang cantik dan boleh disimpan sebagai kenangan.
“Kalau tak buat kerja ini, susah saya nak kumpul duit belajar. Cara mana lagi harus saya lakukan untuk kumpul duit,” katanya.
Sementara itu, Salmi, 23, berkata, kerja yang dilakukan itu tidak semudah disangka kerana mereka kerap berdepan pelanggan bermasalah.
“Ada yang janji nak bayar tetapi bila gambar dah diberi, bayaran tak ikut yang dijanjikan. Pernah juga dimarahi pelanggan yang kata gambar tak cantik, sedangkan kami sudah buat yang terbaik.
“Tapi apa pun, kami ini hanyalah insan kecil yang mahu mencari rezeki, malah adakalanya turut ditipu serta berdepan pelbagai kerenah pelanggan,” katanya.
Terdahulu, operasi bersepadu KL STRIKE FORCE melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan kira-kira jam 8.30 malam di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.
Berdasarkan notis kompaun yang dikeluarkan, mereka dikenakan tindakan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Selain itu, peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan selanjutnya.