SIPITANG - Kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo khususnya di daerah ini antara modal kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung apabila ada pihak mendakwa kegagalan menyiapkan projek infrastruktur asas itu berpunca daripada pentadbiran kerajaan parti Warisan sebelum ini.
Calon Warisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Yusri Pungut menegaskan tuduhan itu tidak berasas memandangkan kuasa dan tanggungjawab membina projek jalan raya berimpak besar terletak di bawah kerajaan Persekutuan, bukan negeri.
Menurutnya, Warisan hanya memegang tampuk pemerintahan dalam tempoh kurang dua tahun sebelum berlaku pertukaran kerajaan, ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19 yang membantutkan banyak perancangan.
"Jalan kita di Sabah ini, tidak ada jalan seperti di tempat lain, ada kelainan, jalan macam di bulan, berlubang-lubang.
"Secara fakta, sila rujuk dan buat kajian. Adakah ini disebabkan oleh parti Warisan yang menyebabkan jalan ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya?," soalnya semasa ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, pihak tertentu perlu berlaku adil dalam menilai rekod pentadbiran Warisan kerana banyak keputusan besar, termasuk perolehan, tender, konsultansi dan pelaksanaan projek, bergantung kepada pembuat dasar di peringkat Persekutuan.
"Dikata berpunca dari Warisan, kontraktor ataupun jalan yang dibuat ini setelah diambil oleh Warisan tidak dapat disiapkan. Mereka persalahkan pemerintahan sebelum ini.
"Tapi orang tahu, tidak pun sampai 24 bulan Warisan ini memerintah dan ketika itu juga datangnya Covid-19," tangkisnya.
Yusri berkata, Warisan mengambil langkah menghentikan model pelaksanaan jalan raya menggunakan konsultan atau Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang membazir dan membebankan rakyat.
"Kita batalkan ini pengurusan konsep PDP untuk kita menjimat duit rakyat. Kenapa kita tidak gunakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memang mempunyai kepakaran daripada segi teknikal, mutu jalan dan perolehan," katanya.
Menurut beliau, masalah sebenar bermula apabila peranan konsultan yang kurang berpengalaman dan kontraktor yang tidak berkelayakan dipilih pada awal projek, sehingga mutu kerja rendah dan jadual pembinaan tidak menepati perancangan.
"Difahamkan konsultan tidak mempunyai cukup kemahiran, kontraktor yang dilantik pun tidak ada kemahiran. Akibatnya, inilah keadaan jalan seperti menunggang kuda walaupun bukan naik kuda," katanya sambil berseloroh.
Yusri turut mengingatkan bahawa isu tiga serangkai bukan sesuatu yang muncul hanya ketika Warisan memerintah.
"Ia sudah membelenggu Sabah bertahun-tahun dan memerlukan pembaikan struktur yang lebih mendalam serta perancangan semula di peringkat Persekutuan.
"Yang sebenarnya kuasa menentukan, menyudahkan jalan raya ini bukan kuasa kerajaan negeri. Ini persekutuan punya kuasa. Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa. Jadi, tidak sepatutnya dipersalahkan," katanya.
Tambahnya lagi, rakyat perlu memahami bahawa jalan raya, air dan elektrik bukan hanya isu politik, tetapi isu perancangan teknikal dan pengurusan projek yang melibatkan banyak pihak.
Sehubungan itu tegasnya, Warisan tidak pernah lari daripada tanggungjawab, malah cuba memperbetul sistem yang merugikan sebelum kerajaan bertukar.