IPOH – Harapan kira-kira 150 pembeli untuk memiliki kediaman pertama di sebuah tapak perumahan dekat Lahat di sini bertukar menjadi mimpi ngeri.
Projek yang dijanjikan siap pada April lalu masih terbengkalai tanpa sebarang perkembangan.
Tinjauan Sinar Harian di tapak projek mendapati kawasan tersebut tidak ubah seperti padang jarak, dengan hanya dua blok bangunan didirikan, namun tidak siap sepenuhnya.
Tapak selebihnya merupakan tanah kosong dan hanya sebahagian kecil ditandakan dengan tiang konkrit serta batang besi.
Lebih menyedihkan, ramai pembeli mendakwa mereka sudah mula membuat bayaran bulanan pinjaman perumahan kepada pihak bank antara RM300 hingga RM800, walaupun rumah yang dijanjikan masih belum wujud.
Seorang pembeli, Nurhusna Zuraidi, 34, berkata, projek terbengkalai itu memberi kesan besar kepada kewangan keluarganya yang kini terpaksa menanggung dua komitmen serentak, iaitu sewa rumah dan bayaran pinjaman bank.
“Ini rumah pertama kami, tetapi kerana kecuaian sesetengah pihak, kami pula yang menanggung beban.
“Sekarang kami masih menyewa kerana rumah belum siap. Saya sendiri membayar hampir RM1,000 untuk sewa rumah, selain potongan bank RM300 sebulan. Memang terbeban,” katanya.
Beliau yang bekerja di sektor swasta berkata, sepatutnya pada Julai lalu beliau sudah menerima kunci rumah, namun pembinaan yang terbengkalai menyebabkan impian itu musnah.
“Dulu pihak pemaju janji rumah akan siap bulan April, tetapi tengoklah sekarang tapak pun lengang,” katanya.
Seorang lagi pembeli, S Ganesa, 38, turut melahirkan kekecewaan terhadap pihak pemaju yang gagal menunaikan janji menyiapkan rumah seperti dijadualkan.
“Sekarang sudah hujung bulan November, langsung tiada perkembangan. Saya diberitahu kerja pembinaan telah dihentikan,” katanya.
Ganesa yang masih bujang berkata, projek itu sepatutnya menjadi langkah pertamanya membina kehidupan sendiri, namun kini hanya tinggal harapan kosong.
“Saya beli kerana percaya kepada projek ini. Sekarang bukan sahaja rugi masa, tetapi kewangan juga terjejas. Bayar kepada bank, tetapi rumah tiada,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hafizuddin Mazlan, 30, berkata, kelewatan projek tersebut memberi tekanan berganda terutama kepada pasangan muda sepertinya yang baru ingin memulakan kehidupan.
“Bagi saya sendiri yang baru berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil, memang berharap dapat menetap di rumah sendiri.
“Keadaan kewangan yang belum stabil membuatkan kami lebih tertekan. Apa pun, kami sangat kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.
Mahu kerajaan campur tangan
Pembeli projek perumahan merayu agar kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan kelewatan pembinaan yang didakwa telah berlarutan tanpa perkembangan ketara.
Wakil komuniti pembeli, Lee Keet Meng, 34, berkata, aduan telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak sejak tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, masih tiada tindakan atau maklum balas yang benar-benar membantu menyelesaikan kemelut tersebut.
“Ramai pembeli sudah membayar ansuran bulanan kepada bank, tetapi satu unit pun belum diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, mereka juga telah menghubungi wakil rakyat di kawasan Menglembu bagi mendapatkan bantuan, namun dimaklumkan supaya menunggu kerana perkara itu masih dalam semakan pihak berkuasa.
“Sampai bila kami perlu tunggu? Setiap kali pergi tengok tapak, kami pulang dengan rasa kecewa. Mahu tunggu sampai mati ke? Itu tak mungkin. Kami semua bukan orang senang,” katanya dengan nada kesal.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan pembeli terdiri daripada golongan B40 dan M40 yang berharap dapat memiliki kediaman sendiri melalui Skim Rumah Perakku.
Selain itu, katanya, mereka juga mempercayai projek berkenaan kerana dipromosikan sebagai projek pemaju yang diyakini.
“Kami langsung tidak mendapat sebarang maklumat terbaharu mengenai projek ini.
“Hubungi pemaju pun tidak berjaya. Mereka pun nampaknya tiada hasrat untuk bertemu pembeli. Ini menyebabkan kami semakin buntu,” ujarnya.
Beliau berkata, para pembeli kini hanya berharap agar isu kelewatan projek perumahan itu dapat diselesaikan segera sekali gus mengurangkan beban kewangan yang telah ditanggung sejak beberapa bulan lalu.
“Kami cuma mahu rumah yang dijanjikan. Kami merayu agar kerajaan segera ambil tindakan,” katanya.