SHAH ALAM - Negara dijangka mendepani cabaran pembiayaan infrastruktur, perancangan bandar jangka panjang dan tekanan sosial susulan kepadatan jumlah penduduk yang tinggi melibatkan kawasan bandar utama di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata, bandar utama seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Selangor kini berdepan kepadatan penduduk yang tinggi, dengan Kuala Lumpur sendiri mencatatkan 8,235 orang bagi setiap 1 kilometer (km) persegi.
Ujar Kor Ming, senario itu menyebabkan berlaku kesesakan di sekolah-sekolah di kawasan bandar berikutan pertambahan jumlah pelajar saban tahun.
Keadaan tersebut menurut beliau, bertambah rumit apabila kekurangan tanah di kawasan bandar menyukarkan pembinaan sekolah baharu secara konvensional yang lazimnya memerlukan kawasan seluas 2.4 hingga 3.2 hektar untuk sekolah rendah manakala 3.2 hingga 4.8 hektar bagi sekolah menengah.
Fenomena ini dijangka memberi kesan jangka panjang kepada kualiti hidup penduduk bandar dan kemampuan negara dalam mengekalkan sistem pendidikan serta perumahan yang mampan.
Selain itu, tekanan terhadap permintaan perumahan dalam kawasan yang padat juga mendorong peningkatan harga rumah serta penyusutan unit mampu milik.
Dalam jangka masa panjang, situasi ini boleh memaksa lebih ramai keluarga muda atau berpendapatan sederhana berpindah ke kawasan pinggir bandar, sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap jaringan pengangkutan awam dan menyumbang kepada kesesakan trafik harian.
Kepadatan penduduk tinggi di bandar utama bukan sekadar isu ruang fizikal, tetapi cabaran struktur yang memerlukan reformasi dalam perancangan pendidikan dan perumahan negara.
Beberapa cabaran besar perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam menangani isu tersebut termasuk perancangan bandar jangka panjang.
Pertumbuhan pesat tidak disertai dengan perancangan menyeluruh boleh menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan.
Kerajaan berdepan cabaran menyelaras keperluan pendidikan, perumahan dan perkhidmatan asas mengikut unjuran populasi sebenar, bukan data lampau.
Di samping itu, dalam keadaan fiskal semasa, kerajaan juga perlu menyeimbangkan pelaburan antara bandar dan luar bandar tanpa mengabaikan mana-mana pihak.
Kepadatan penduduk tinggi di bandar utama bukan sekadar isu ruang fizikal, tetapi cabaran struktur yang memerlukan reformasi dalam perancangan pendidikan dan perumahan negara.
Kerajaan perlu bertindak dengan pendekatan inovatif, terancang dan berpaksikan data bagi memastikan keperluan generasi akan datang tidak terjejas oleh keterbatasan semasa.