JOHOR BAHRU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak Kerajaan Negeri Johor memberikan penjelasan berhubung pertukaran kenderaan rasmi barisan Exco daripada model Toyota Camry kepada Toyota Alphard yang didakwa digunakan pada masa ini.
Naib Ketua Armada Johor, Muhammad Harith Lokman berkata, keputusan tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai keperluan sebenar, keutamaan perbelanjaan dan ketelusan pengurusan kewangan kerajaan negeri khususnya dalam keadaan rakyat yang sedang berdepan tekanan ekonomi.
Menurutnya, walaupun Johor dilihat maju dari aspek pembangunan fizikal, hakikatnya ramai rakyat negeri itu masih perlu berulang-alik ke Singapura untuk mencari rezeki selain bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang semakin tidak mampu milik.
“Baru-baru ini tular mengenai penggunaan kereta rasmi baharu bagi Exco negeri. Sebelum ini, kenderaan rasmi adalah Toyota Camry, namun kini dilaporkan telah ditukar kepada Toyota Alphard.
“Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai keperluan, keutamaan perbelanjaan dan ketelusan dalam pengurusan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, Armada Johor turut mempersoalkan sama ada pembelian kenderaan baharu tersebut telah dibincangkan dan diluluskan dalam Dewan Negeri, serta meminta kerajaan menjelaskan proses kelulusan, anggaran kos keseluruhan, dan sebab ia tidak diumumkan secara terbuka.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan alasan yang munasabah mengenai keputusan tersebut,” tegasnya.
Dalam kenyataan itu juga, Armada Johor menegaskan bahawa ketelusan dalam penggunaan peruntukan awam perlu menjadi prinsip utama kerajaan negeri agar setiap perbelanjaan dapat dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Rakyat Johor sedang berjuang untuk kehidupan harian, sementara keputusan seperti ini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan kerajaan dalam mengurus perbelanjaan,” katanya.