Polis siasat dakwaan wanita warga asing cedera terkena peluru sesat

Iklan
Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Gambar kecil: Azizee

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang sedang menyiasat dakwaan seorang wanita warga asing berusia 67 tahun yang mendakwa mengalami kecederaan selepas terdengar bunyi letupan ketika berada di dalam rumahnya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, polis menerima laporan daripada mangsa jam 11.39 pagi pada Khamis yang mendakwa dirinya disyaki terkena peluru sesat di sebuah kondominium di Batu Ferringhi di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku jam 5.35 pagi pada 18 November lalu di sebuah kondominium yang didiami wanita tersebut.

Katanya, mangsa merupakan pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H).

Iklan

"Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan terdengar bunyi letupan sebelum mengalami kecederaan di bahagian atas kening. Mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada hari sama dan ditahan wad selama sehari.

"Hasil pemeriksaan pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mendapati ada titisan darah dipercayai milik mangsa di sebuah bilik dalam rumah berkenaan. Bagaimanapun, tiada sebarang anak peluru atau kesan tembakan ditemui pada struktur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Azizee, laporan perubatan oleh doktor yang merawat mangsa turut mendapati kecederaan dialami tidak menunjukkan ciri-ciri luka tembakan.

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami ‘laceration wound’ pada bahagian atas kening yang dipercayai akibat objek tumpul.

"Tiada kesan tembakan ditemui pada mana-mana bahagian tubuh mangsa,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat beberapa keterangan mangsa yang didapati tidak konsisten menyebabkan polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjatapi tanpa alasan yang sah.

"Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujarnya.

Azizee menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat,” katanya.