Warga emas dalang 'Geng Ismail Gampang' dihukum penjara

Iklan
Ketua Geng Ismail Gampang, Ismail Dahalan (tengah) dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Parit pada Jumaat atas kesalahan melupuskan harta curi membabitkan beberapa kejadian sejak Julai lalu.

PARIT - Seorang warga emas dikenali ketua Geng Ismail Gampang dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Parit pada Jumaat atas kesalahan melupuskan harta curi membabitkan beberapa kejadian sejak Julai lalu.

Majistret Nurul Izalina Rajaai menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ismail Dahalan, 61, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melupuskan harta curi iaitu tiga gergaji besi dan tabung plastik masing-masing di Tanjung Blanja, Parit dan Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan pada Julai dan 12 November 2025.

Ismail bersama anak perempuannya, Noraini, 24, dan seorang lagi wanita, Nur Jamaaton Farhanum Zainol Aman, 25, turut didakwa sengaja melupuskan empat utas gelang rantai emas kepunyaan seorang wanita yang dilaporkan hilang, 4 November lalu.

Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing dua bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua serta lapan bulan kesalahan ketiga.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman berkuat kuasa bermula dari tarikh sabitan.

Iklan

Dalam kes itu, mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama empat bulan ke atas Noraini manakala Nur Jamaaton Farhanum didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Enam individu dikenali Geng Ismail Gampang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit pada Jumaat atas kesalahan mencuri, memiliki dan melupuskan harta curi membabitkan beberapa kejadian sejak Julai lalu.

Kedua-dua wanita tersebut turut dikenakan hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersama melupuskan harta curi berupa dua keping jongkong emas dengan cara menjual kepada sebuah kedai emas di Sitiawan, 27 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan berasingan, seorang lagi anak perempuan Ismail, Nurul Atiqah, 18, dikenakan hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan barang kemas yang merupakan harta curi berupa rantai leher, cincin, subang dan loket emas.

Dalam prosiding sama, abang kepada Ismail, Husain Dahalan, 64, diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri seutas jam tangan jenama G-Shock di sebuah rumah di Layang-layant Kanan, 2 November 2025.

Mahkamah juga membenarkan anak tiri Ismail, Norhidayah Abdullah, 27, diikat jamin sebanyak RM4,500 selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupus harta curi dan mencuri sebentuk cincin emas di sebuah rumah di Kampung Gajah, 8 November lalu.

Semua pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Syukri Abdul Talib manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Nadzrah Badarudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah memaklumkan, Geng Ismail Gampang dikesan telah bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar pentadbiran Perak Tengah sejak Mei lalu.