Singapura kenakan sekatan ke atas empat ekstremis Israel

Iklan
Singapura akan mengenakan sekatan kewangan bersasar dan larangan kemasukan terhadap empat individu Israel yang terbabit dalam tindakan keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

KUALA LUMPUR - Singapura akan mengenakan sekatan kewangan bersasar dan larangan kemasukan terhadap empat individu Israel yang terbabit dalam tindakan keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar mendedahkan individu berkenaan iaitu Meir Mordechai Ettinger, Elisha Yered, Ben-Zion Gopstein dan Baruch Marzel terlibat dalam perbuatan ekstremis yang keterlaluan.

Iklan
Iklan

"Tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang dan menjejaskan serta menggugat prospek penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.

Singapura turut mengulangi pendiriannya bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Iklan

"Kehadiran dan peluasan penempatan akan menjadikan usaha mencapai penyelesaian dua negara jauh lebih sukar,” katanya.

Sebagai penyokong teguh undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara, Singapura menentang sebarang tindakan unilateral untuk mengubah fakta di lapangan melalui perbuatan yang menyalahi undang-undang antarabangsa, menurut kementerian itu.

Iklan

Singapura juga menggesa kerajaan Israel mengekang tindakan keganasan pendatang serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.- Bernama