SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekadar memberi teguran keras kepada setiausaha politiknya kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor didakwa menyerlahkan lagi sikap sambil lewa beliau dalam memerangi rasuah di bawah pentadbirannya sendiri.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbuatan itu tidak seharusnya berlaku terhadap pemimpin yang begitu lantang menentang rasuah.
"Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh melaungkan perang terhadap rasuah, sedangkan isu membabitkan Setiausaha Politik Kanan beliau hanya dijawab dengan teguran dalaman? Pejabat PM adalah jantung pentadbiran negara dan ia mesti menjadi contoh ketelusan, bukan perlindungan.
"Lebih membimbangkan, corak perlindungan ini berulang. Apabila kes melibatkan individu rapat dengan PMX dan kerajaan PH-BN, pendirian beliau tiba-tiba lembut dan longgar.
"Namun apabila kes melibatkan pihak lawan, beliau begitu lantang dan agresif. Sikap memilih bulu ini bukan sahaja memalukan institusi Perdana Menteri, malah membenarkan pandangan rakyat bahawa PMX hanyalah beretorik," katanya menerusi hantaran di media sosialnya pada Jumaat.
Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan, beliau telah menegur tindakan setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Anwar perlu berani membersihkan orang di sekelilingnya sendiri dengan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan jika serius untuk memerangi jenayah berkenaan.
"Jika PMX benar-benar serius memerangi rasuah, beliau mesti berani membersihkan lingkungannya sendiri dengan mengarahkan siasatan SPRM secara menyeluruh, bukan sekadar memberi amaran. Ketegasan tidak boleh selektif," katanya.