SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoal keberkesanan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025 bagi memastikan ketelusan integriti dalam proses perolehan.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, persoalan itu timbul susulan tular surat sokongan Setiausaha Politik Perdana Menteri kepada kementerian kesihatan untuk syarikat tertentu.
Menurutnya, seperti yang dinyatakan, Akta Perolehan Kerajaan 2025 penting untuk memperkukuhkan tatakelola, ketelusan dan kecekapan dalam pelaksanaan perolehan kerajaan.
"Namun, sejauh mana ia boleh mencapai apa yang didakwa jika amalan surat sokongan masih berlaku selepas akta ini diluluskan di Parlimen.
"Kerajaan Madani berhasrat laksanakan lebih banyak reformasi yang sudah pasti kita sokong seperti pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Akta Ombudsman, kebebasan maklumat dan pendanaan politik.
"Namun, apakah jaminan kerajaan untuk reformasi yang bakal dibuat ini benar-benar dapat menutup kelompongan yang menyebabkan isu tatakelola dan rasuah terus berlarutan," ujarnya menerusi aplikasi X pada Jumaat.
Sebelum ini, sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri itu tular di media sosial.
Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan kepada seorang pembantu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam projek hospital Muar.
Surat tersebut mula tular di media sosial tahun lalu sebelum disahkan sendiri oleh Dzulkefly di Parlimen.
Justeru Muhammad Faisal berpendapat, pelaksanaan reformasi harus didorong oleh 'political will and deep conviction' pemerintah untuk hapuskan rasuah.
"Tidak nanti akhirnya hanya dilihat seperti melepaskan batuk di tangga," ulasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihaknya telah menegur tindakan setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
"(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).
"Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) 'sila teliti'. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menamakan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai pegawai yang menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.
Dalam satu video di Facebook, Rafizi mendakwa, insiden itu adalah peluang terbaik untuk Anwar menunjukkan keazamannya untuk memerangi rasuah dan daripada hanya menegurnya.
Malah, katanya, perkara seperti ini bukan kali pertama dan Shamsul Iskandar harus dipecat.