PETALING JAYA - Laporan pemeriksaan mental pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mengorbankan nyawanya di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, bulan lalu, masih belum lengkap.
Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh berusia 14 tahun berkata, pakar perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk menyediakan laporan pemeriksaan psikiatri tersebut.
Menurutnya, mahkamah mengambil kira Seksyen 342(4) Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan permohonan untuk melanjutkan masa hampir sebulan, dengan harapan laporan itu akan siap pada prosiding akan datang.
Beliau yang baru sahaja dilantik untuk mewakili tertuduh berkata, laporan pemeriksaan mental anak guamnya sangat penting bagi mengetahui tahap kecerdasan sebelum mahkamah mengambil pengakuan bersalah atau minta dibicarakan atas tuduhan bunuh itu.
"Keadaan mindanya perlu diambil kira terutama semasa dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan.
"Ini bukan suatu usaha untuk melengah-lengahkan prosiding tetapi pihak pembelaan dimaklumkan bahawa ramai pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan penilaian mental di sana," katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Kitson berkata, pihak pembelaan belum berkesempatan untuk bertemu tertuduh juvana namun dimaklumkan dia berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata, ibu bapa dan keluarga tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak hospital agar laporan berkenaan dapat disediakan secara lebih komprehensif.
Buat masa ini, katanya, pihak pendakwaan belum menyerahkan dokumen lain kecuali kertas pertuduhan dan ia akan diserahkan kemudian sebelum perbicaraan bermula.
Menurutnya, mahkamah menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh bagi mengetahui status laporan pemeriksaan mental itu.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh juvana itu didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau bagi tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Usaha media untuk mengambil gambar tertuduh tidak berhasil memandangkan pelajar bawah umur itu dibawa ke mahkamah menerusi laluan lain.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah selepas disyaki ditikam berulang kali.
Kitson baru dilantik sebagai peguam kepada tertuduh juvana yang didakwa menikam pelajar 16 tahun sehingga meragut nyawanya pada bulan lalu.