Isu tanah: Terengganu keluarkan surat peringatan terakhir kepada Felda

Iklan
Azman

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung kata putus mengenai tuntutan penyelesaian isu tanah antara kedua-dua pihak sebelum 29 November ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, surat rasmi telah dihantar pada Khamis sebagai langkah akhir sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surat peringatan tersebut turut disiarkan kepada umum bagi memastikan semua pihak mengetahui bahawa kerajaan negeri telah memberi ruang secukupnya kepada Felda untuk memberikan maklum balas.

"Kita siarkan supaya ramai menjadi saksi bahawa kerajaan negeri sudah memberikan peringatan.

Iklan

"Surat tersebut menyatakan tarikh 29 November 2025 adalah tempoh akhir yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelesaian Isu Tanah Felda dan Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini.

"Jika tiada sebarang kata putus diterima pada atau sebelum tarikh tersebut, kerajaan negeri tiada pilihan selain meneruskan tindakan undang-undang,"katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Surat berkenaan yang ditandatangani Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak merujuk hasil mesyuarat pada 2 Oktober lalu di Menara Felda yang turut dihadiri wakil kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebelum ini menuntut penyelesaian segera terhadap isu tunggakan bayaran perkongsian keuntungan tanah negeri yang diteroka Felda selepas ia berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Antara isu yang dibangkitkan melibatkan hak sama rata daripada Felda berhubung hasil perkongsian keuntungan tanah milik kerajaan negeri meliputi 10 ladang milik FGV seluas kira-kira 15,000 hektar.

Azman menegaskan, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak rakyat dan memastikan segala isu berkaitan tanah dapat diselesaikan secara telus.

"Kita telah beri ruang, kita beri masa. Kini terpulang kepada Felda untuk memuktamadkan pendirian mereka," katanya.