Muzium serangga di Beijing perkenal kopi campuran serbuk lipas

Iklan
Sebuah muzium serangga di Beijing menawarkan kopi ditaburi serbuk lipas kisar kepada pengunjung. Foto tular/Weibo

CHINA – Sebuah muzium di Beijing menarik perhatian ramai selepas melancarkan minuman kopi baharu yang ditaburi serbuk lipas kisar di permukaan minuman tersebut.

Menurut laporan South China Morning Post, selain serbuk lipas, minuman berkafein itu turut dicampur ulat kuning yang telah dikeringkan, iaitu sejenis ulat yang biasanya menjadi makanan serangga.

Iklan
Iklan

Peminum yang mencuba minuman itu berkata, ia mempunyai rasa “hangus dan sedikit masam.”

Kopi lipas tersebut dijual di kedai kopi dalam sebuah muzium serangga di ibu negara China pada harga 45 yuan (RM26.60) secawan.

Iklan

Nama muzium itu tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

“Kami melancarkan kopi ini pada akhir Jun dan ia mula tular di internet baru-baru ini. Sebagai muzium bertemakan serangga, kami rasa minuman seperti ini sepadan dengan konsep kami,” kata seorang pekerja muzium itu.

Iklan

Siri minuman baharu di muzium tersebut turut merangkumi minuman menggunakan jus pencernaan periuk kera serta satu edisi terhad yang diperbuat daripada semut yang ditawarkan khusus sempena Halloween.

Menurut pekerja itu, semua bahan dibeli dari kedai herba perubatan tradisional Cina (TCM), sekali gus meyakinkan pelanggan tentang keselamatan minuman tersebut.

Teori TCM turut mendakwa serbuk lipas mampu membantu melancarkan peredaran darah.

Ujarnya, walaupun minuman semut mempunyai rasa masam, minuman periuk kera pula 'rasanya seperti kopi biasa'.

“Kopi lipas ini kebanyakan diminum oleh golongan muda yang ingin mencuba sesuatu yang pelik. Ibu bapa yang membawa anak pula kurang berminat kerana mereka tidak suka lipas,” katanya.

Pekerja itu menambah, kedai berkenaan menjual lebih 10 cawan kopi lipas setiap hari.