TAMBUN – Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) mencatat rampasan bernilai RM312.4 juta sejak awal tahun hingga Oktober 2025 melibatkan dadah, rokok dan minuman keras serta pelbagai barangan penyeludupan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, nilai rampasan itu menunjukkan keberkesanan operasi COBRA yang semakin agresif membanteras kegiatan penyeludupan di lapangan.
Beliau berkata, kejayaan rampasan ini menggambarkan kesiapsiagaan serta keupayaan tinggi pasukan dalam menangani ancaman semasa.
"Daripada jumlah itu, RM31.5 juta adalah rampasan kes dadah, RM267.1 juta membabitkan rokok dan minuman keras seludup manakala RM13.8 juta lagi melibatkan pelbagai barangan yang cuba dibawa masuk secara haram.
"COBRA kini menjadi aset taktikal penting JKDM dalam memerangi penyeludupan dan mengekang kebocoran hasil negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan dan Pemakaian Beret Tim Nukleus COBRA yang berlangsung di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini pada Khamis.
Katanya, pembentukan pasukan berkeupayaan tinggi itu turut disokong kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pusat Latihan PGA (PLPGA), 69 Komando dan Unit Tindakhas (UTK).
"Kerjasama strategik antara JKDM dan PDRM ini menjadi sebahagian kekuatan kami.
"Bimbingan yang diberikan banyak membantu meningkatkan kesiapsiagaan COBRA,” katanya.
Menurutnya, anggota yang ditauliahkan diingatkan agar mengekalkan disiplin, integriti dan profesionalisme.
"Setiap tindakan di lapangan harus memberi impak kepada usaha mempertahankan ekonomi serta kedaulatan negara.
"Pemakaian beret COBRA ini membawa simbol maruah, keberanian dan amanah yang perlu dijunjung setiap anggota," katanya.
Majlis itu dimulakan dengan demonstrasi keupayaan tempur merangkumi bodyguarding, tembak taktikal dan Close-Quarter Battle (CQB) sebelum diteruskan dengan upacara pemakaian beret yang disempurnakan sendiri Ketua Pengarah Kastam.
Seramai 22 anggota ditauliahkan selepas menamatkan latihan intensif selama 60 hari, dipilih daripada 175 calon seluruh negara yang melalui saringan ketat.
Sepanjang latihan, mereka ditempa melalui ujian fizikal ekstrem, ketahanan mental, latihan taktikal, penggunaan senjata api, rappelling, abseiling serta pelbagai simulasi operasi sebenar.