50 peratus jemaah tolak tawaran haji - Mohd Na’im

Iklan
Mohd Na'im

KUALA LUMPUR - Sebanyak 50 peratus jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini dilaporkan menolak tawaran tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kebanyakan penolakan itu berpunca daripada kekangan kewangan yang dihadapi para jemaah.

Iklan
Iklan

Beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang daripada RM1,300.

Ujarnya, pendeposit yang mempunyai baki simpanan di bawah jumlah tersebut belum layak untuk menunaikan haji kerana ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan ibadah berkenaan.

Iklan

“Peranan TH sebagai institusi penabungan telah mula terkesan. Kini, TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Mohd Na’im menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH dan jumlah akhir peruntukan kewangan bagi inisiatif tersebut.

Iklan

Menurut beliau, mengambil kira kesemua faktor dan berdasarkan data kajian yang telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan projek penjenamaan semula.

“Ia bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Seperti yang telah dimaklum dan diperjelaskan oleh TH melalui kenyataan media bertarikh 16 Ogos lalu, TH telah mengesahkan peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama ini adalah berjumlah RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun,” ujarnya.

Setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta selaras dengan kemajuan kerja semasa mengikut jadual yang dipersetujui.

“TH masih memperhalusi keperluan kerja-kerja lanjutan untuk inisiatif peremajaan jenama dan ia belum dimuktamadkan.

“Hanya kos perunding yang telah dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak tambahan dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga menggunakan bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” kata beliau.