Terima rasuah RM1.77 juta: Bekas SU sulit dijel enam tahun, denda RM8.8 juta

Iklan
Mohd Saifullah dipenjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta, pada 2018 lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dipenjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Ia membabitkan lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta bagi tender perkhidmatan pengiklanan pada 2018 lalu.

Iklan
Iklan

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula Khamis dan sekiranya lelaki itu gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara selama tujuh tahun.

Iklan

Menurutnya, mahkamah mempertimbangkan mitigasi untuk meringankan hukuman oleh pembelaan dan mendengar hujahan pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

“Tertuduh dihukum penjara bermula hari ini, saya harap hukuman berkenaan dapat menginsafkan dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.

Iklan

“Kamu masih muda, mahkamah berharap kamu insaf dan berubah menjadi lebih baik,” kata hakim.

Mendengar keputusan itu, Mohd Saifullah, 34, yang memakai kot biru menangis teresak-esak ketika berada di kandang tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam tahun dan denda antara RM75,000 hingga RM2.5 juta bagi semua pertuduhan namun hakim memerintahkan tertuduh menjalani semua hukuman pemenjaraan secara serentak.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dibuat.

Mahkamah kemudiannya menaikkan jumlah ikat jamin daripada RM200,000 kepada RM280,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Suzana berkata, setelah mendengar keterangan semua saksi dan menilai keterangan, mahkamah mendapati pembelaan gagal mematahkan anggapan kebarangkalian di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, ketika prosiding, peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum.

Katanya, semasa kejadian, dia merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, masih terlalu muda serta naif dalam hal ehwal politik.

"Dia mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan masih boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selain itu, dia juga merupakan pesalah kali pertama dan telah memberi kerjasama yang baik sepanjang lima tahun perbicaraan berlangsung,” katanya dengan menambah tertuduh telah insaf.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How pula mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat kerana tindakan tertuduh bukan sahaja mencemarkan imej keluarga malah memberikan kesan langsung kepada kepercayaan masyarakat terhadap integriti dan ketelusan urus tadbir kerajaan.

“Selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada menteri itu, dia sepatutnya menghargai masa depan dan bukannya terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Kesalahan yang dilakukan juga melibatkan jumlah yang besar sehingga mempengaruhi tender," katanya.

Mengikut lapan pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1.765 juta daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif.

Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada sebuah lagi syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi, sekitar Kuala Lumpur dan Dengkil antara 21 Disember 2018 dan 1 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 23 Februari 2024, Mohd Saifullah diperintah membela diri atas lapan kes terbabit selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya namun melepas serta membebaskannya daripada 11 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender sama.