GEORGE TOWN - Pulau Pinang mendesak penubuhan sebuah suruhanjaya khas peringkat nasional bagi menyemak semula model perkongsian hasil antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia sebagai satu langkah yang disifatkan kerajaan negeri sebagai keperluan mendesak demi menjamin keadilan fiskal serta kelestarian pembangunan jangka panjang.
Menurutnya, tuntutan agar sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip dari Pulau Pinang dipulangkan semula kepada negeri telah dibangkitkan berkali-kali di Dewan Rakyat serta dalam perbahasan Belanjawan Persekutuan 2026.
Bagaimanapun katanya, memorandum rasmi yang disediakan kerajaan negeri untuk dibentangkan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-147 pada 7 Oktober lalu tidak diterima untuk pertimbangan atas sebab yang tidak dijelaskan.
"Oleh sebab itu, penubuhan suruhanjaya khas adalah mekanisme terbaik untuk menilai semula formula sedia ada secara telus dan berlandaskan perjanjian yang jelas, bukan sahaja untuk Pulau Pinang tetapi demi keserataan antara semua negeri.
"Di sebalik polemik mengenai perkongsian hasil, Pulau Pinang terus mengekalkan momentumnya sebagai ‘kuasa ekonomi’ negara, disokong oleh angka pelaburan dan eksport yang kukuh bagi 2024 dan 2025," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) mengenai perkembangan tuntutan 20 peratus daripada sumber hasil cukai yang dikutip dari Pulau Pinang.
Menurut Kon Yeow lagi, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang merekodkan pelaburan sektor pembuatan berjumlah RM17.3 bilion pada 2024, manakala bagi tempoh sehingga Jun tahun ini, pelaburan telah mencapai RM12.5 bilion.
"Eksport melalui dua pintu masuk utama negeri turut mencerminkan kekuatan ekosistem industri berteknologi tinggi.
"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang mencatatkan RM60.8 bilion eksport pada 2024 manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LIAPP) merekodkan angka jauh lebih tinggi iaitu RM411.1 bilion, dipacu sektor elektrik dan elektronik (E&E)," ujarnya.
Kon Yeow menambah, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini pula, eksport melalui pelabuhan direkodkan RM37.0 bilion, manakala LIAPP kekal sebagai penyumbang utama dengan RM310.9 bilion, mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai hab industri E&E terkemuka negara.
"Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat teknologi tinggi, kerajaan Persekutuan turut menyalurkan RM50 juta bagi tempoh lima tahun untuk melaksanakan inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) di bawah InvestPenang.
"Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri pada 7 Disember tahun lalu, diikuti agihan RM3.6 juta pada 11 Disember 2024 dan RM8 juta pada 19 Mac 2025 bagi memastikan program tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai sasaran pembangunan kapasiti tenaga mahir negeri.
"Walaupun Pulau Pinang kekal sebagai pemacu utama eksport dan pelaburan negara, pembaharuan model perkongsian hasil tetap menjadi keperluan kritikal," katanya.
Beliau berkata, hanya dengan formula yang lebih adil, jelas dan telus, Pulau Pinang boleh terus bersaing secara mampan sambil memastikan pembangunan yang inklusif untuk rakyat.