MOSCOW – Seorang wanita yang mendakwa dirinya 'ahli sihir' ditahan selepas polis menemui mayat anak lelakinya yang dikerat di dua lokasi berbeza, termasuk kepala yang dibuang ke dalam sebuah tasik.
The Mirror US melaporkan, suspek, Elena Tsukanova, 31, yang pernah mengikuti latihan sebagai guru, ditahan selepas polis menemui bahagian badan kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) itu di balkoni rumahnya di kawasan Balashikha, Moscow.
Sebelum itu, kepala kanak-kanak tersebut ditemui di dalam beg galas berwarna ungu yang dibungkus dalam plastik dan dibuang ke Tasik Golyanovsky.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Rusia, Tsukanova mengaku membunuh anak lelakinya, Miloslav, 6, yang mempunyai masalah fizikal dan tidak mampu berjalan tanpa bantuan.
Siasatan awal mendapati wanita itu aktif di media sosial dan mendakwa dirinya 'ahli sihir' serta 'perantara antara dunia' selain terlibat dalam apa yang disebut sebagai eksperimen kesedaran.
Sebelum ini, Tsukanova merupakan pelajar di Universiti Kemanusiaan Negeri Moscow Sholokhov dalam bidang pendidikan.
Penemuan ngeri itu bermula apabila pekerja tasik terkejut melihat kepala kanak-kanak berkenaan terapung sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Pada peringkat awal, polis menganggarkan mangsa berusia tujuh hingga 10 tahun sebelum identiti sebenar disahkan.
Kanak-kanak itu sebelumnya dilaporkan hilang oleh neneknya, yang mendakwa dia telah keluar bersama bapa tiri.
Polis juga dilaporkan mencari lelaki berkenaan, namun setakat ini ibu kandung telah didakwa sebagai suspek pembunuhan.
Media tempatan melaporkan peralatan seperti gergaji jig dan gergaji tangan dipercayai digunakan untuk memenggal mangsa.
Polis turut merampas beberapa bilah pisau dari rumah Tsukanova.
Setakat ini, suspek tidak memberikan sebarang motif pembunuhan ketika disoal siasat.
Mangsa mempunyai seorang kakak berusia sembilan tahun yang tidak dicederakan.
Bapa kandung kanak-kanak itu difahamkan telah berpisah dengan Tsukanova selepas 10 tahun bersama dan keluar dari rumah pada Jun lalu.
Lelaki itu hanya mengetahui berita kematian anaknya melalui laporan media.