LONDON - United Kingdom pada Isnin melaksanakan larangan di seluruh negara terhadap pengiklanan makanan tidak sihat di televisyen dan dalam talian sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membendung peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi.
Di bawah peraturan baharu itu, makanan dan minuman yang diklasifikasikan sebagai tinggi lemak, garam dan gula tidak dibenarkan diiklankan di televisyen sebelum 9 malam waktu tempatan atau dipromosikan melalui iklan berbayar dalam talian pada bila-bila masa.
Kanak-kanak akan dilindungi daripada pendedahan berlebihan kepada iklan makanan tidak sihat di televisyen dan dalam talian, menurut Jabatan Kesihatan dalam satu kenyataan.
Jabatan itu berkata peraturan berkenaan dijangka dapat mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami obesiti sebanyak 20,000 orang serta menghasilkan manfaat kesihatan bernilai kira-kira 2 bilion pound sterling atau 2.68 bilion dolar Amerika Syarikat dalam jangka panjang.
Menurut angka rasmi, 22.1 peratus kanak-kanak di England mengalami berat badan berlebihan atau obesiti ketika memulakan sekolah rendah, dan angka itu meningkat kepada 35.8 peratus menjelang tamat persekolahan.
Menteri Kesihatan Awam Ashley Dalton berkata sekatan terhadap iklan makanan tidak sihat sebelum 9 malam serta larangan iklan berbayar dalam talian akan mengurangkan pendedahan berlebihan kepada makanan tidak sihat dan membantu ibu bapa serta kanak-kanak membuat pilihan yang lebih sihat.
Pengarah Eksekutif Obesity Health Alliance Katharine Jenner mengalu-alukan langkah itu dengan berkata kanak-kanak akhirnya akan dilindungi daripada iklan makanan tidak sihat yang paling bermasalah.
Ketua Eksekutif Diabetes UK Colette Marshall berkata keperluan untuk meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak tidak pernah menjadi sepenting sekarang, memandangkan diabetes jenis dua terus meningkat dalam kalangan golongan muda.
Obesiti merupakan faktor risiko utama bagi diabetes jenis dua, dan penyakit itu boleh membawa kepada kesan yang lebih serius dalam kalangan golongan muda, termasuk risiko komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung, katanya. - Bernama