Pekerja pembersihan maut ditembak kerana tersalah masuk rumah

Iklan
Seorang pemilik rumah di Indiana, Amerika Syarikat dituduh membunuh tanpa niat seorang pembersih rumah dan kes itu menimbulkan persoalan mengenai had undang‑undang pertahanan diri di kediaman sendiri.

AMERIKA SYARIKAT - Seorang pemilik rumah berdepan pertuduhan pembunuhan tanpa niat selepas menembak mati seorang pekerja pembersihan yang tersilap datang ke alamat kediamannya dalam kejadian di Whitestown, Indianapolis, pada 5 November lalu.

Suspek, Curt Andersen, 62, didakwa menembak mangsa, Maria Florinda Rios Perez De Velasquez, 32, ibu kepada empat anak dari Guatemala, melalui pintu depan rumahnya tanpa memberi sebarang amaran kira-kira satu minit selepas terdengar seseorang cuba membuka pintu.

Iklan
Iklan

Mangsa dan suaminya, Mauricio Velasquez, merupakan pekerja syarikat pembersihan rumah yang tersalah alamat ketika tiba sekitar jam 7 pagi waktu tempatan.

Mauricio berada di sisi isterinya dan hanya menyedari apa berlaku apabila mangsa rebah dalam dakapannya.

Iklan

Menurut pihak berkuasa, tiada bukti menunjukkan mangsa cuba memecah masuk atau bertindak agresif, sebaliknya hanya cuba membuka pintu menggunakan kunci syarikat pembersihan yang disangka milik rumah pelanggan.

Mangsa juga tidak mengetuk pintu dengan kasar atau memaksa masuk.

Iklan

Andersen kini ditahan di Penjara Boone County dan boleh berdepan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun serta denda sehingga AS$10,000 (RM41,300) jika disabitkan kesalahan.

Peguamnya, Guy Relford, mendakwa tindakan Andersen berasas kerana menyangka dirinya dalam bahaya, selain berhujah undang-undang 'stand-your-ground' melindungi tindakan tersebut.

Bagaimanapun, Pendakwa Boone County, Kent Eastwood, menegaskan perlindungan undang-undang itu tidak terpakai kerana Andersen tidak mempunyai justifikasi mencukupi untuk menilai ancaman sebenar sebelum melepaskan tembakan.

Pakar undang-undang Universiti Indiana, Prof Jody Madeira menyifatkan kes itu sebagai 'amat luar biasa', memandangkan undang-undang di negeri tersebut membenarkan individu berada di pekarangan rumah orang lain untuk tujuan sah selagi tidak diarahkan pergi.

Insiden itu turut mengundang perdebatan mengenai batas penggunaan kekerasan di rumah sendiri apabila berlaku salah faham atau kesilapan alamat. - Agensi