PRN Sabah: Hajiji yakin GRS menang lebih 37 kerusi, dapat 'simple majority'

Iklan
Hajiji ketika ditemui pemberita pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di Dataran Bagandang, Beaufort

BEAUFORT – [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin gabungan itu mampu memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau berkata, keyakinan itu bukan sahaja melibatkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dan Klias, tetapi turut merangkumi keseluruhan 55 kerusi yang ditandingi GRS.

Iklan
Iklan

“Memang lebih banyaklah dan kita yakin kita boleh mempertahankan kerajaan ini. Lebih daripada 37, simple majority, Insya-Allah.

“Kita bertanding di 55 kerusi dan kita yakin dapat lebih daripada 40,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di Dataran Bagandang, di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ditanya mengenai keyakinannya itu susulan dua kerusi Lumadan dan Klias yang dilihat mampu dipertahankan GRS.

Hajiji beramah mesra bersama jentera ketika hadir pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di Dataran Bagandang, Beaufort.

Iklan

Sebelum itu dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan GRS sentiasa menyediakan pelbagai insentif kepada pelajar, termasuk bantuan untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.

“Mulai tahun ini, saya juga berikan bantuan kepada anak-anak kita yang menuntut di Sabah di institusi pengajian tinggi yang mahu pulang ke kampung semasa perayaan Hari Raya, Ramadan atau Krismas, sama ada yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

“Kita bagi RM300 setiap seorang. Saya mendapat kesedaran apabila ada seorang penuntut dari sebuah daerah di utara Sabah yang menghantar mesej kepada saya melalui WhatsApp untuk minta bantuan balik kampung. Tambang untuk sampai ke rumahnya mungkin RM50.

“Rupanya masih ramai lagi yang susah, maka timbullah dasar dan juga kelulusan untuk kita bantu. Semua mereka diberikan RM300, tidak kira di Sandakan, Tawau, Keningau, Sindumin dan juga seluruh Sabah yang menuntut di Kota Kinabalu.

“Itulah kerajaan GRS. Jadi, saya mengharapkan kalau saya lihat himpunan pada petang ini, kalau inilah jadi cerminan kepada sokongan kepada kedua-dua calon ini, saya yakin mereka berdua akan meraih kemenangan pada 29 November ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah calon GRS bagi DUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; calon DUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun; serta Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.