ISU makan di premis yang tidak mempunyai logo halal sering menjadi tanda tanya dalam kalangan umat Islam, terutamanya apabila berada di kawasan yang majoriti bukan Islam.
Begitu juga ketika berhadapan dengan situasi pilihan makanan yang terhad.
Persoalannya, apakah sah dari sudut syarak untuk makan di kedai yang tidak mempunyai logo halal? Atau adakah ia perlu dielakkan sepenuhnya?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam perkara ini menjelaskan, umat Islam perlu mengambil berat berkenaan status halal dan haram sebelum memilih sesuatu makanan atau minuman.
Ujarnya, mencari yang halal merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya ALLAH itu baik, tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya ALLAH telah memerintahkan kepada orang Mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para rasul.
ALLAH berfirman: “Wahai para rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh. Sesungguhnya AKU MAHA MENGETAHUI akan apa yang kamu kerjakan.”
Firman ALLAH juga: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah kami berikan kepada kamu.”
Kemudian Rasulullah SAW menceritakan keadaan seorang lelaki yang telah merantau jauh, kusut-masai dan berdebu, sambil menadahkan kedua-dua tangannya ke langit (untuk berdoa): “Ya Tuhanku, Tuhanku.” Sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Oleh yang demikian, bagaimana doanya akan dimakbulkan?” (Hadis Riwayat Muslim)
Menurutnya, status halal bagi sesuatu makanan atau minuman boleh ditentukan melalaui bahan yang terkandung dalam penghasilannya.
“Antara ciri-ciri makanan dalam kategori haiwan yang halal dimakan ialah haiwan yang telah disembelih secara syarak serta tidak mengandungi sebarang campuran khinzir, lemak, gelatin atau daging daripada haiwan yang tidak disembelih secara syarak.
“Begitu juga makanan lain yang tidak berunsurkan arak,” jelasnya panjang menerusi artikel terbaharu Al-Kafi #2048: Hukum makan di restoran tiada logo halal.
Ujarnya, semua perkara ini jelas disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, darah yang mengalir, daging babi – kerana sesungguhnya ia kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelik atas nama yang lain daripada ALLAH. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-An’am: 145)
“Selain itu, status halal bukan sahaja dilihat berdasarkan bahan yang terkandung dalam makanan, tetapi juga diambil kira tahap kebersihan, baik dan selamat selari dengan kaedah halalan toyyiban iaitu halal lagi baik.
“Oleh demikian, makanan dan minuman tersebut perlu dipastikan halal lagi baik dan proses penyediaannya menepati kaedah yang ditetapkan oleh syarak walau siapa sahaja yang menyediakannya sama ada beragama Islam mahupun tidak,” katanya.
Tambahnya, sebarang makanan yang berkemungkinan bercampur penyediaannya dengan makanan tidak halal adalah diragui kehalalannya dan perlu ditinggalkan serta berusaha mencari makanan halal yang lain.
Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Tinggalkan apa yang kamu ragukan dengan mengambil apa yang kamu tidak ragukan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Sebagai akhirnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan bahawa:
1 – Makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat beli-belah mahupun di tepi jalan adalah diharuskan selagi makanan tersebut diyakini serta tidak mengandungi bahan yang haram serta proses penyediaannya menepati kehendak syarak.
Sekiranya terdapat keraguan berkenaan status halal makanan tersebut, maka perlu ditinggalkan dan mencari restoran makanan halal yang lain.
Berikut merupakan sedikit panduan untuk memilih makanan dan minuman di luar negara:
I – Mencari restoran atau kedai makan yang menyediakan makanan halal atau mempamerkan logo halal.
II – Pastikan makanan dan minuman yang dibeli tidak mengandungi bahan yang diharamkan.
III – Elakkan diri daripada membeli makanan atau minuman yang diragui kehalalannya.
3 – Dinasihatkan agar memilih restoran yang mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh pihak berautoriti tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mengelakkan sebarang keraguan.