Tragedi bot karam: 29 mayat selesai dibedah siasat

Iklan
Adzli semasa mengadakan sidang media pada Rabu.

ALOR SETAR - Semua 29 mayat mangsa tragedi bot karam yang ditemui di perairan Langkawi hampir dua minggu lalu selesai melalui proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sehingga Rabu, jumlah mangsa yang ditemui di perairan tersebut kekal 29 orang, manakala 14 individu berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku pada 8 November lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada 14 yang ditahan, seramai 11 individu akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 serta enam sebatan jika sabit kesalahan.

“Tiga lagi yang ditahan merupakan kanak-kanak dan mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, Rabu.

Iklan

Mengulas proses bedah siasat, Adzli berkata, laporan awal mendapati 15 mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas, konsisten dengan keadaan mereka yang ditemui di laut.

“Baki 14 lagi mangsa dikategorikan sebagai 'uncertain' kerana keadaan mayat yang tidak sempurna selepas lama berada di laut.

Iklan

"Punca kematian hanya dapat dipastikan selepas keputusan analisis makmal diperoleh,” ujarnya.

Adzli berkata, polis sudah mengambil profil DNA dan cap jari semua mayat bagi tujuan pengecaman serta kemungkinan tuntutan waris pada masa akan datang.

“Pada 17 November, satu mesyuarat penyelarasan diadakan bersama HSB, pakar patologi, Majlis Agama Islam Kedah dan agensi berkaitan untuk memuktamadkan proses pengurusan mayat.

“Disebabkan prosedur yang panjang dan teliti, saya menjangkakan proses pengumuman rasmi mengenai identiti serta urusan pengebumian mangsa akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan, berkemungkinan hingga hujung tahun ini,” katanya.

Jelasnya, daripada 29 mayat yang ditemui, 15 adalah lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, tangkapan terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, dua wanita Myanmar (Rohingya) serta dua kanak-kanak.