Binaan ECRL runtuh, pemandu jentera dipanggil - Kesuma

Iklan
Abdul Rahman (tengah) mendengar penjelasan sewaktu lawatan kerja khas ke lokasi tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Rabu

GOMBAK – [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memanggil pemandu jentera 'skylift' yang terlibat dalam insiden runtuhan struktur binaan di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Selasa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung punca kejadian dan memastikan setiap aspek keselamatan dipatuhi ketika operasi dijalankan.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, siasatan awal mendapati insiden tersebut berpunca daripada perlanggaran boom jentera 'skylift' dengan struktur sementara kanopi keluli semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat dijalankan oleh subkontraktor projek.

“Pemandu boom 'skylift' akan dipanggil untuk siasatan. Kita tidak mahu menuduh mana-mana pihak lagi.

Iklan

“Saya mahu adil dengan semua pihak. Sekiranya didapati bersalah, memang kita akan (mengenakan) denda, tetapi buat sementara ini saya tidak akan mengulas panjang mengenai kesalahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas lawatan kerja khas di tapak Projek ECRL di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves pada Rabu.

Iklan

Boom 'skylift' merujuk kepada jentera kerja yang menggunakan ‘lengan’ berengsel untuk mengangkat pekerja atau peralatan binaan ke kawasan tinggi seperti kerja pembinaan, penyelenggaraan bangunan dan membaiki lampu jalan.

Sebelum ini, seorang wanita nyaris maut selepas keretanya dipercayai dihempap runtuhan binaan projek ECRL dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves pada Selasa.

Menurut Abdul Rahman, siasatan awal JKKP turut mendapati bahawa struktur kanopi itu tidak direka untuk menampung beban hentakan.

“Selain itu, kerja berisiko tinggi tersebut telah dijalankan tanpa kebenaran bertulis (Permit Kerja) daripada kontraktor utama.

“Susulan itu, JKR telah mengarahkan baki struktur kanopi keluli yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang,” ujarnya.

Kata Abdul Rahman, JKKP diarah untuk menjalankan pemeriksaan keseluruhan di jajaran ECRL yang berdekatan dengan jalan raya bagi memastikan setiap kerja oleh kontraktor mematuhi peraturan sedia ada.

“Semua kontraktor perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan sepanjang tempoh projek,” kata beliau.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, beliau berkata, wanita terbabit tidak mengalami kecederaan serius namun mengalami trauma akibat insiden tersebut.

“Mangsa diberikan cuti sakit selama tiga hari. Keretanya pula disahkan mengalami total loss.

“Perkara itu kita serahkan sepenuhnya kepada pihak insurans dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.