KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak menyerang bapanya selepas ditegur kerana tidak pergi sekolah dalam kejadian di sebuah rumah di Setapak di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.42 petang berhubung insiden itu.
Iklan
Iklan
"Suspek yang merupakan pelajar Tingkatan Lima itu telah mencederakan mangsa berusia 47 tahun akibat salah faham antara mereka.
"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian belakang badan dan lengan kiri akibat torehan menggunakan pisau oleh suspek. Lelaki itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.
Mohamad Lazim berkata, suspek telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun yang sama atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.
"Permohohan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibuat semalam dan reman dibenarkan selama tiga hari bermula 18 November (Selasa) hingga esok (20 November)," katanya.