GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil tindakan melucut hak terhadap 413 lot tanah di seluruh negeri sejak tahun 2020 selepas pemilik gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, Seberang Perai Selatan mencatat jumlah tertinggi dengan 114 lot, diikuti Seberang Perai Utara (96), Barat Daya (76), Timur Laut (71) dan Seberang Perai Tengah sebanyak 56 lot.
“Pelucuthakan ini dibuat kerana pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah yang ditetapkan walaupun notis pentadbiran dan Notis 6A telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT),” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.
Kon Yeow (DAP–Padang Kota) berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Bukhori Ghazali (Pas–Pinang Tunggal) mengenai senarai lot tanah yang dirampas serta prosedur rayuan untuk mendapatkannya kembali.
Tambah beliau, proses perampasan tanah ini dilaksanakan mengikut Seksyen 97 dan 100 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pemilik asal yang ingin mendapatkan semula tanah boleh mengemukakan permohonan pembatalan pelucuthakan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di bawah Seksyen 133 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“PBN boleh mengenakan penalti tidak melebihi enam kali ganda jumlah sewa tertunggak sebagai syarat untuk membatalkan pelucuthakan.
“Hanya tuan tanah asal sebelum tanah dilucut hak sahaja dibenarkan memohon,” jelasnya.