KUALA LUMPUR - Isu berkaitan kedudukan Ketua Pembangkang tidak dibincangkan dalam perjumpaan Ahli Parlimen Bersatu bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada Selasa malam.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan ketika ditemui selepas mesyuarat itu menegaskan bahawa pertemuan berkenaan langsung tidak menyentuh soal pertukaran Ketua Pembangkang, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tidak dibincangkan (berkenaan status Ketua Pembangkang). Langsung tidak bincang. Kita bincang bagaimana mahu menangi pilihan raya di Sabah,” katanya.
Kalam berkata, suasana pertemuan berjalan baik dan perbincangan lebih tertumpu kepada usaha mengukuhkan parti.
“Semuanya okay. Bincang pasal perlu menghormati parti itu biasalah. Semua parti bila bincang mahu kukuhkan parti,” katanya lagi.
Terdahulu, seramai 18 Ahli Parlimen dilaporkan hadir pada perjumpaan bersama Presiden Bersatu itu.
Mesyuarat itu berlangsung selepas beberapa hari tular dokumen dalaman yang dikaitkan dengan cadangan pertukaran Ketua Pembangkang dan kenyataan beberapa pemimpin yang menyuarakan kebimbangan terhadap polemik dalaman parti.
Pada masa sama, 18 Ahli Parlimen yang hadir turut menyatakan sokongan padu terhadap Muhyiddin.